MATTA Fair kembali dengan pakej, promosi menarik April ini

Nigel (tengah) bersama dengan pihak yang terlibat dalam menjayakan MATTA Fair April depan.
Nigel (tengah) bersama dengan pihak yang terlibat dalam menjayakan MATTA Fair April depan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) kembali menawarkan pelbagai pakej pelancongan baharu dan eksklusif di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada 3 hingga 5 April depan.

MATTA Fair edisi ke-58 itu bakal berlangsung di ruang seluas 40,820 meter persegi merangkumi 10 dewan pameran, melibatkan lebih 2,000 gerai daripada 307 syarikat yang mengambil bahagian.

Kadar penyertaan pempamer dijangka terus meningkat dalam tempoh beberapa minggu akan datang sekali gus menjanjikan pengalaman lebih menyeluruh dengan penyertaan industri yang kukuh, rakan penaja dan pempamer yang diyakini selain pertandingan menarik serta inisiatif berteraskan kelestarian.

Pameran itu dijangka memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung untuk merancang percutian mereka dengan penuh keyakinan.

Presiden MATTA merangkap Pengerusi Penganjur MATTA Fair, Nigel Wong berkata, pihaknya komited dalam memupuk kepercayaan dalam kalangan pengunjung.

"Setiap pempamer di MATTA Fair terdiri daripada pemain industri yang berlesen dan berwibawa termasuk pengendali pelancongan, pengusaha hotel serta penyedia perkhidmatan berkaitan pelancongan.

"Ini bagi memastikan pengunjung dapat merancang percutian dengan tenang dan yakin,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Nigel ketika berucap pada pelancaran MATTA Fair edisi ke-58.
Nigel ketika berucap pada pelancaran MATTA Fair edisi ke-58.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, MATTA turut mengumumkan barisan penaja utama bagi edisi pameran kali ini.

"RHB Bank Berhad sebagai Penaja Platinum Eksklusif, Malaysia Aviation Group sebagai Rakan Penerbangan Rasmi dan Penaja Premier manakala Visit Malaysia 2026 sebagai Rakan Strategik.

"MATTA turut memaklumkan bahawa pengumuman Destinasi Antarabangsa Kegemaran serta Destinasi Kegemaran Malaysia akan dibuat dalam masa terdekat," katanya lagi.

Selaras dengan komitmen berterusan terhadap pelancongan bertanggungjawab dan mampan, Nigel berkata, inisiatif Pelancongan Eko dan Lestari MATTA (MESTI) akan terus menjadi tumpuan sepanjang pameran itu berlangsung.

"Pavilion MESTI kali ini menampilkan lebih 45 pempamer berteraskan kelestarian yang mempamerkan produk serta tawaran mesra alam.

"Selain itu, MATTA Fair April 2026 turut membawakan pertandingan yang dinanti-nantikan pengunjung antaranya, peraduan pembeli yang membolehkan pengunjung berpeluang memenangi hadiah pelancongan menarik bagi setiap pembelian minimum RM100 di pameran tersebut.

MATTA Fair akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 April depan.
MATTA Fair akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 April depan.

"Turut diadakan ialah Peraduan Ride & Reels yang menggalakkan pengunjung merakam dan berkongsi perjalanan mereka ke MATTA Fair menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma, dengan peluang memenangi hadiah teknologi menarik," ujarnya.

Bagi memastikan kelancaran kunjungan, kemasukan adalah percuma dan pameran dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam, Jumaat hingga Ahad.

Pengunjung digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma dari KL Sentral dan Sunway Putra Mall ke MITEC.

Bagi pengunjung yang memandu, kemudahan parkir disediakan di ruang bawah tanah pintu masuk selatan MITEC, ruang bawah tanah MITI, parkir terbuka MATRADE serta ruang bawah tanah The MET.

Untuk maklumat terkini, layari mattafair.org.my atau ikuti media sosial rasmi di Facebook, X dan TikTok @mattafair.official serta Telegram @MATTA_Fair.

Ringkasan AI

  • MATTA Fair kembali dengan pelbagai pakej pelancongan baru dan eksklusif di MITEC
  • Edisi ke-58 MATTA Fair akan merangkumi lebih 2,000 gerai dari 307 syarikat
  • Pameran menawarkan pengalaman pelancongan dengan kehadiran industri kukuh dan inisiatif berteraskan kelestarian
  • Semua pempamer berlesen dan berwibawa untuk memastikan pengunjung boleh merancang percutian dengan yakin
  • Pavilion MESTI akan menampilkan produk dan tawaran mesra alam dengan lebih 45 pempamer

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!