X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Covid-19: Kes terendah dalam tempoh tiga minggu

Malaysia mencatatkan kes Covid-19 terendah dalam tempoh tiga minggu apabila 4,087 kes dilaporkan pada Isnin. Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia pada Isnin mencatatkan kes Covid-19 terendah dalam tempoh tiga minggu apabila 4,087 kes dilaporkan setakat jam 12 tengah hari.

Sebelum ini, kes terendah yang dicatatkan negara ialah pada 7 November iaitu 4,343 kes yang merupakan jumlah terendah dalam tempoh enam bulan lepas.

Pada Mei lepas, Malaysia merekodkan 4,498 kes selepas 39 hari mencatatkan angka terendah iaitu 941 kes pada 29 Mac.

Kes jangkitan harian Covid-19 mencecah paras 6,000 pada 25 November berbanding 5,654 pada hari sebelumnya. Namun, kes harian mula mencatatkan penurunan pada 26 November dengan 5,501 kes, diikuti 5,097 kes (27 November) dan 4,239 kes (28 November).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sembuh yang dicatatkan pada Isnin mengatasi kes baharu, iaitu berjumlah 4,984 kes.

“Daripada 4,087 kes baharu dicatatkan hari ini, 72 kes atau 1.8 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima, sementara 4,015 kes lagi atau 98.2 peratus adalah dalam kategori satu dan dua,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut Dr Noor Hisham, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web CovidNow di https: //covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada jam 12 tengah malam setiap hari.

Kenyataan beliau pada Isnin turut menggariskan penjagaan kesihatan ketika bencana banjir dan pandemik Covid-19 dengan amalan norma baharu perlu dipraktikkan sepanjang masa daripada proses menyelamat dan memindahkan mangsa sehinggalah mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk sebarang gejala dan faktor risiko Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke PPS. Mangsa yang bergejala akan diwajibkan untuk melakukan saringan Covid-19 untuk mengelakkan berlakunya kejadian kluster Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes positif Covid-19 akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau PPS Khas atau dirujuk ke hospital mengikut keperluan, manakala kontak rapat akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi berlainan blok.

Beliau berkata, mangsa bergejala tetapi negatif ujian saringan Covid-19 perlu dikuarantin. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!