Ribut: Tiga blok asrama politeknik terjejas

No Image Caption
A
A
A

SLIM RIVER - Hujan ribut yang melanda kawasan Slim River, petang tadi menyebabkan tiga blok asrama Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang terjejas teruk selepas sebahagian bumbung diterbangkan angin kencang.

Kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang itu turut menyebabkan seorang pengawal keselamatan wanita cedera di kepala akibat terkena runtuhan siling.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Yusli Abd Latif berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 6.41 petang.

No Image Caption

Menurutnya, tingkat empat di ketiga-tiga blok asrama itu yang menempatkan hampir 100 pelajar paling teruk terjejas.

"Ketika kejadian kebanyakan pelajar ada di bilik masing-masing, namun berjaya menyelamatkan diri, hanya seorang pengawal keselamatan wanita yang berada di sekitar asrama itu cedera, dia bagaimanapun telah dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan," katanya.

Keadaan PSAS yang terjejas akibat dilanda ribut, petang tadi. –Foto ihsan pembaca
Keadaan PSAS yang terjejas akibat dilanda ribut, petang tadi. –Foto ihsan pembaca

Beliau berkata, tiga blok asrama itu telah ditutup dan sawar-sawar dipasang untuk langkah keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan lebih 20 pokok tumbang.

"Operasi dan pemantauan masih dilakukan di lokasi kejadian," katanya.

Selain asrama, makmal, bangunan pejabat dan kediaman kakitangan, beberapa khemah jualan untuk Karnival Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan 2019, esok turut terjejas.

Keadaan pokok tumbang turut mengakibatkan tiga kenderaan milik pensyarah rosak.

Saksi kejadian berkata, insiden berlaku antara jam 5.20 hingga 5.30 petang ketika kebanyakan pelajar dan kakitangan dalam perjalanan pulang.

"Tak ada guruh atau mendung, tiba-tiba sahaja hujan lebat dan disusuli angin kuat, kejadian berlaku secara tiba-tiba, itu pun sekejap sahaja dalam tempoh 10 minit," katanya.

Menurutnya, semua pelajar yang terlibat akan dipindahkan sementara ke kawasan lebih selamat.

"Kawasan ini mempunyai enam blok asrama, tiga lagi asrama selamat untuk didiami," katanya.