Ingkar larangan beg plastik, lesen perniagaan di Perak boleh dibatalkan - Exco

IPOH - Premis perniagaan di Perak yang berulang kali melanggar larangan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna berdepan tindakan pembatalan lesen perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, tindakan itu merupakan antara langkah penguatkuasaan terhadap peniaga yang masih berdegil dan gagal mematuhi dasar berkenaan.
Menurut beliau, penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) serta Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan PBT.
“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan secara berfasa bermula dengan pengeluaran notis amaran sebelum tindakan kompaun dikenakan.
“Bagi kesalahan berulang yang tegar, PBT boleh mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan premis tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.
Kerajaan negeri sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan larangan penggunaan beg plastik sekali guna berkuat kuasa 1 Mac 2026.
Larangan itu meliputi pelbagai kategori premis termasuk pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera, farmasi serta premis lain yang dilesenkan oleh PBT.
Mengulas lanjut, Kok Lim berkata, satu garis panduan sedang dimuktamadkan bagi menyeragamkan pelaksanaan dasar dan tindakan penguatkuasaan di kesemua 15 PBT di negeri itu.
“Pelaksanaan dasar ini menunjukkan perkembangan positif apabila diterima baik oleh masyarakat, pengguna, pengurusan pasar raya, peniaga dan penjaja di negeri ini,” tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

