Hoki: Piala Sultan Azlan Shah 2023 diadakan awal tahun depan

Sultan Nazrin telah memperkenankan penganjuran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang bakal memasuki edisi ke-30, diadakan pada awal tahun depan. - Gambar hiasan
Sultan Nazrin telah memperkenankan penganjuran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang bakal memasuki edisi ke-30, diadakan pada awal tahun depan. - Gambar hiasan
A
A
A

SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menerima menghadap Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal di Istana Hinggap Perak di sini pada Jumaat.

Menerusi kenyataannya KHM memaklumkan, pada sesi menghadap itu telah dibincangkan bersama Sultan Nazrin mengenai penganjuran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2023, Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah (Lelaki) dan Piala Tuanku Zara (Wanita) 2023.

Justeru, baginda telah memperkenankan penganjuran Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang bakal memasuki edisi ke-30, diadakan pada awal tahun depan.

Baginda turut memberi perkenan untuk Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Piala Sultan Nazrin Shah dan Piala Tuanku Zara 2023 dilangsungkan pada November ini di Ipoh, Perak.

Sebagai rekod, skuad hoki kebangsaan melakar sejarah apabila menamatkan penantian 39 tahun untuk bergelar juara Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan Korea Selatan 3-2 pada aksi final di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di Ipoh, November tahun lepas.

Malaysia sebelum itu menduduki tempat kedua sebanyak lima kali iaitu pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014 sejak kali pertama kejohanan itu dianjurkan pada 1983. - Bernama