Perak perkasa institusi masjid menerusi teknologi AI, IoT - Saarani

IPOH - Perak memperluaskan fungsi institusi masjid sebagai pusat literasi digital komuniti menerusi penyediaan kemudahan teknologi, pelaksanaan projek rintis masjid pintar dan bengkel berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu merupakan usaha kerajaan negeri memperkasakan peranan masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah hab penyatuan ummah, pengembangan ilmu dan pembangunan kemahiran digital masyarakat.
Menurutnya, usaha itu dilaksanakan melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta agensi berkaitan termasuk Digital Perak, selaras dengan agenda pendigitalan di bawah Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030.
"Kerajaan negeri telah memulakan inisiatif perpustakaan digital masjid di Masjid An-Nur, Kampar dilengkapi kemudahan komputer dan akses internet bagi menggalakkan budaya ilmu serta pembelajaran digital dalam kalangan masyarakat setempat.
"Pelaksanaan projek rintis masjid pintar atau smart masjid berasaskan teknologi Internet of Things (IoT) serta perluasan capaian jalur lebar di masjid luar bandar turut dipergiatkan bagi memastikan kemudahan digital dapat dinikmati ahli kariah.
"Selain itu, kerajaan negeri juga sedang memperluaskan jaringan kerjasama strategik antara pengurusan masjid dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Kementerian Komunikasi, institusi pengajian tinggi serta syarikat korporat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.
Saarani yang juga Exco Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC berkata, setiap inisiatif itu berpaksikan pembudayaan teknologi berteraskan nilai dan etika Islam bagi memastikan penggunaannya selari dengan prinsip agama.
Katanya, usaha itu diharap dapat memperkukuh kedudukan masjid sebagai pusat pembangunan ilmu yang responsif terhadap keperluan masyarakat seiring perkembangan teknologi semasa.
"Di peringkat pentadbiran agama, JAIPk juga mula meneroka penggunaan teknologi AI dalam penyampaian perkhidmatan agama dan jaringan maklumat," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

