X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Covid-19: Omicron 500 peratus lebih menular berbanding Delta

Lapangan Terbang Antarabangsa O R Tambo di Johannesburg di Afrika Selatan sesak selepas kebanyakan penumpang mengambil peluang untuk meninggalkan negara itu sebelum sekatan perjalanan dilaksanakan. - Foto Agensi
A
A

NEW YORK - Varian baharu Covid-19 yang dinamakan sebagai Omicron berkemungkinan 500 peratus lebih berjangkit berbanding Delta.

Kebimbangan itu disuarakan pakar epidemiologi dan felo kanan di Persekutuan Saintis Amerika (FAS), Dr Eric Feigl-Ding menerusi beberapa ciapan disertakan dengan gambar graf yang dikongsi beliau di Twitter yang menunjukkan virus bermutasi itu mungkin lebih berbahaya.

Menurutnya, Omicron juga mempunyai lebih dua kali ganda jumlah 'mutasi lonjakan jahat' berbanding Delta.

"Peningkatan kes jangkitan disebabkan #B11259 menggantikan Delta kini menggemparkan seluruh dunia. Situasi ini sangat buruk malah ancaman varian #C12 yang juga dikesan di Afrika Selatan sebelum ini juga semakin meningkat dan menjadi dominan di negara itu berbanding Delta," ujarnya.

Sebelum ini, hasil kajian penyelidik di Korea Selatan mendapati varian Delta adalah 300 kali ganda lebih mudah menular berbanding versi asal virus Covid-19.

Pada Jumaat, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menamakan B.1.1.529 sebagai Omicron yang menggunakan abjad Yunani seperti sebelum ini dan mengisytiharkan ia sebagai varian yang membimbangkan (VOC) ketika mesyuarat tergempar secara maya oleh Kumpulan Penasihat Teknikal Terhadap Evolusi Virus SARS-CoV-2.

Pengumuman tersebut dibuat selepas virus bermutasi yang disifatkan 'paling teruk pernah dilihat setakat ini' dan pertama kali dikesan di Afrika Selatan serta dikenal pasti di beberapa negara termasuk Hong Kong dan Israel.

WHO memaklumkan, kajian terhadap Omicron mungkin mengambil masa selama beberapa minggu untuk melihat jika terdapat sebarang perubahan dalam kebolehjangkitan, risiko menjejaskan tahap keberkesanan vaksin, ujian dan rawatan sedia ada.

"Virus bermutasi itu mempunyai sejumlah besar mutasi dan sebahagiannya amat membimbangkan.

"Bukti awal menunjukkan ia mungkin meningkatkan risiko jangkitan semula berbanding VOC lain," kata WHO dalam satu kenyataan merujuk kepada spesimen awal yang diperoleh pada 9 November lalu dan kini telah menyebabkan peningkatan kes secara mendadak di hampir kesemua wilayah di Afrika Selatan.

Kemunculan Omicron turut menyebabkan pasaran saham dan harga minyak menjunam selain beberapa negara mula mengenakan sekatan perjalanan dari rantau Afrika yang dilihat sebagai langkah tergesa-gesa dan tidak wajar oleh Pretoria. - Agensi

Info:

>B.1.1.529 atau varian Omicron mempunyai 32 mutasi dalam lonjakan protein untuk menjangkiti sel manusia.

>WHO mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum mengisytiharkan Delta sebagai virus yang membimbangkan (VOC) berbanding Omicron yang ditakrif sebagai VOC dalam tempoh 72 jam selepas ia dikenal pasti.

>Australia melarang penerbangan dari sembilan negara Afrika dan warga tempatan serta penduduk yang melakukan perjalanan ke negara berkenaan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

>Amerika Syarikat, Brazil, Kanada dan Guatemala antara negara mengumumkan sekatan perjalanan dari rantau Afrika.

>Di Asia Barat, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan larangan kemasukan pengembara dari beberapa negara Afrika termasuk penumpang transit bermula Isnin ini.

>Bahrain, Jordan dan Maghribi juga mengambil langkah menyekat kemasukan pengembara dari Afrika Selatan, Botswana, Namibia, Zimbabwe, Mozambique, Lesotho dan Eswatini.

>Di Eropah, Austria, Republik Czech, Jerman, Itali, Cyprus dan Belanda mengikut jejak langkah Britain untuk menggantung penerbangan dari Afrika Selatan.

>Satu kes terbaharu varian Omicron dilaporkan di Belgium melibatkan individu yang baru pulang dari Mesir.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!