Kos haji dijangka meningkat lebih RM30,000

Kos haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan peningkatan VAT diperkenalkan kerajaan Arab Saudi.- Gambar fail
Kos haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan peningkatan VAT diperkenalkan kerajaan Arab Saudi.- Gambar fail
A
A
A

KOTA BHARU - Kos haji dijangka meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM23,000 sebelum ini susulan peningkatan Cukai Nilai Tambah (VAT) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, VAT itu meningkat kepada 15 peratus berbanding lima peratus sebelum ini menyebabkan jangkaan peningkatan kos haji sebanyak lebih 50 peratus.

“Peningkatan kos sebahagian besarnya berkait rapat dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang perlu dipatuhi termasuk penjarakan fizikal seperti had kapasiti bilik hotel dan bas.

“Jumlah tepat kos haji akan datang itu bagaimanapun akan diputuskan dalam kabinet dan diketahui awal tahun hadapan,” katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan 18 keluarga di Jalan Gajah Mati di sini.

Beliau menegaskan, Tabung Haji tetap akan menanggung sebahagian daripada kos, namun jumlah yang akan ditanggung itu belum diputuskan.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran, Mohd Yusoff Kamaruzaman, 31.
Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran, Mohd Yusoff Kamaruzaman, 31.

“Sebelum ini, kos keseluruhan untuk mengerjakan ibadat haji adalah RM23,000, namun jemaah hanya dikenakan bayaran RM9,980 dan kos itu tidak pernah dinaikkan sejak 2001.

“Apabila jumlah tepat sudah diputuskan, kita akan maklumkan kepada bakal jemaah haji dan pada masa sama, kita juga berusaha untuk menyedarkan supaya mana-mana yang berkemampuan membayar penuh kos berkenaan,” katanya.

Pada perkembangan sama, Ahmad Marzuk berkata, kuota jemaah haji juga akan diketahui awal tahun hadapan.

“Segala keputusan tertakluk kepada kerajaan Arab Saudi sama ada akan mengekalkan kuota 30,000 jemaah atau dikurangkan.

“Kita perlu terima apa-apa sahaja kemungkinan memandangkan keadaan pandemik Covid-19,” katanya.