Mengintai nasib PKR Sarawak

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

GELANGGANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan dibuka bulan depan. Ia kali kedua PRN Sarawak diadakan pada bulan Disember – kali pertama pada 28 dan 29 Disember 1983.

Kali ini PKR sudah tentu menyusun strategi paling ampuh bagi memastikan kekalahan teruk gagal memenangi sebarang kerusi di Melaka tidak berulang di Bumi Kenyalang.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Peluncuran Jentera PKR Sarawak di Kuching baru-baru ini melahirkan keyakinan tidak akan berlaku pertindihan calon melibatkan parti itu dengan parti pembangkang lain pada PRN Sarawak.

Malah, Anwar berkata, perbincangan sudah diadakan antara pemimpin parti itu di peringkat negeri dengan DAP dan kini usaha masih dijalankan untuk mencapai kesepakatan dengan parti pembangkang tempatan, Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi menghadapi Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Namun, aura PKR Sarawak dilihat semakin malap, malah berkemungkinan besar akan mengalami nasib sama di Melaka – selepas mengambil kira perpecahan yang berlaku sejurus Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada PRN lalu, PKR Sarawak bertanding di 40 kerusi dan hanya memenangi tiga kerusi menerusi Baru Bian (Ba Kelalan), See Chew How (Batu Lintang) dan Datuk Ali Biju (Krian).

Kini ketiga-tiga pemimpin itu tidak lagi bersama-sama PKR Sarawak. Ali menyertai Bersatu, manakala Baru dan Chew How menyertai PSB.

Atas faktor itu, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah meramalkan PKR Sarawak tidak akan menang sebarang kerusi pada PRN nanti.

Artikel Berkaitan:

PKR Sarawak tidak lagi sama seperti pada 2016, maka sama ada jangkaan Abdul Karim akan menjadi kenyataan atau tidak, kita tunggu Disember ini.

Pada Rabu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon ditetapkan 6 Disember, manakala pengundian awal 14 Disember.

Ia melibatkan 1,252,014 pengundi terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis PGA dan pasangan serta 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Pada 3 November lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan.