SESB rugi RM118,087, empat premis curi elektrik

Jefrey bersama kakitangan SESB melakukan pemeriksaan meter elektrik selepas disyaki menggunakan elektrik curi.
Jefrey bersama kakitangan SESB melakukan pemeriksaan meter elektrik selepas disyaki menggunakan elektrik curi.
A
A
A

KOTA KINABALU - Empat premis perniagaan di sekitar bandar raya ini diserbu Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) selepas disyaki beroperasi menggunakan bekalan elektrik curi.

Dalam operasi kira-kira jam 9 pagi itu, semua premis berkenaan dipotong bekalan elektrik selepas didapati menggunakan bekalan elektrik curi.

Pengarah Kawasan ST Sabah, Jefrey Nuri berkata, operasi itu diadakan susulan aduan awam dan siasatan selepas penemuan pendawaian secara haram yang ditambah untuk menyalurkan bekalan elektrik ke premis berkenaan.

Jefrey
Jefrey

Katanya, pendawaian yang dikesan itu adalah membabitkan penambahan bekalan elektrik daripada satu fasa kepada tiga fasa untuk kegunaan premis masing-masing.

"Antara yang diserbu termasuk restoran yang melakukan penyambungan bekalan elektrik secara terus tetapi tidak melalui meter SESB yang dipercayai bagi mengelakkan daripada membayar bil elektrik yang tinggi.

"Dianggarkan premis ini sudah beroperasi menggunakan kaedah ini sejak satu atau dua tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas operasi yang dijalankan, pada Khamis.

Kakitangan SESB memotong kabel elektrik di sebuah premis di sekitar Kota Kinabalu, selepas disyaki menggunakan elektrik curi.
Kakitangan SESB memotong kabel elektrik di sebuah premis di sekitar Kota Kinabalu, selepas disyaki menggunakan elektrik curi.

Artikel Berkaitan:

Jefrey memberitahu, pihaknya menganggarkan SESB mengalami kerugian kira-kira RM118,087 untuk semua empat premis yang melakukan kegiatan mencuri elektrik berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990, Seksyen 37 (3) dan Seksyen 37(14) akta yang sama.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta dan penjara sehingga lima tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Jefrey berkata, bagi kesalahan kali kedua, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta dan penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Jefrey berkata, pihak ST mengingatkan orang ramai supaya tidak mengusik pepasangan meter elektrik milik SESB.

"Masyarakat juga diminta supaya menyalurkan maklumat kepada pihak ST atau SESB sekiranya mengesan sebarang kejanggalan pada meter untuk tindakan selanjutnya," katanya.