Menteri, perwakilan Malaysia di luar negara boleh pilih bahasa

Kamarudin Jaffar
Kamarudin Jaffar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar Negeri (KLN) berpendirian bahawa menteri atau perwakilan Malaysia di luar negara boleh memilih untuk berucap dalam mana-mana bahasa termasuk bahasa kebangsaan ketika menghadiri persidangan antarabangsa.

Timbalan Menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, tidak menjadi kesalahan bagi wakil negara untuk berucap dalam mana-mana bahasa termasuk bahasa Inggeris, Arab, Perancis atau bahasa Melayu.

“Ia satu keputusan yang baik oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man apabila dengan berani dan bangga berucap dalam bahasa kita di persidangan itu,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi memberi maklum balas kepada perbahasan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mahu tahu mengenai pendirian kementerian berhubung penggunaan bahasa ketika menghadiri persidangan di luar negara.

Pada 10 Oktober lalu, Tuan Ibrahim membuat kemunculan pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland dengan menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu.

Tampil segak dengan bersut dan kopiah hitam, Tuan Ibrahim menyampaikan kenyataan negara pada konvensyen berkenaan selama kira-kira tiga minit.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 yang sedang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 12 November lalu.

Kemunculan Tuan Ibrahim itu sekali gus menutup mulut banyak pihak yang membidasnya kerana tidak hadir ke acara berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebelum ini mengkritik beliau tidak hadir pada persidangan itu kerana rakan sejawatan Tuan Ibrahim dari negara lain sudah berada di COP26 untuk berbincang cara menangani perubahan iklim.

Ada juga netizen yang berpandangan beliau tidak ke Scotland kerana tidak tahu berbahasa Inggeris.