JPJ banteras lori hantu, kereta sapu

Penerangan berhubung lori hantu daripada pegawai JPJ Johor.
Penerangan berhubung lori hantu daripada pegawai JPJ Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak sembilan lori yang tidak didaftarkan atau dikenali sebagai 'lori hantu' ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di sekitar Pengerang, di Kota Tinggi.

Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman berkata, penguatkuasaan lori hantu tersebut dilaksanakan oleh Unit Siasatan dan Risikan JPJ Johor berdasarkan aduan diterima daripada orang awam.

"Bertindak atas aduan, satu operasi khas telah dijalankan sekitar jam 4 petang bertempat di persimpangan lampu isyarat Gate 2 RAPID Pengerang pada Sabtu lalu.

"Sembilan lori jenis tipper/dumper telah ditahan. Hasil pemeriksaan didapati kesemua lori tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya pada sidang media di JPJ Johor di sini hari ini.

Razali berkata, selain itu, kesemua pemandu lori hantu terbabit terdiri daripada warga asing warganegara Nepal, Bangladesh, Filipina dan Indonesia yang tidak mempunyai lesen memandu Malaysia.

"Kesemua lori tersebut telah dibawa ke JPJ Johor untuk siasatan lanjut bagi pengesahan identiti. Laporan polis telah dibuat pada 10 Mac lalu, di Balai Polis Pengerang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 11 buah kereta sapu ditahan dan disita JPJ Johor dalam penguatkuasaan di sekitar Bandar Sungai Rengit, Pengerang, 10 Mac lalu.

"Kesalahan dikesan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu tiada lesen memandu dan Seksyen 23(2) Akta yang sama kerana salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Artikel Berkaitan:

"Kesemua pemandu yang memandu kenderaan tersebut terdiri daripada warga asing iaitu Nepal dan Bangladesh. Kenderaan tersebut disita sehingga kes selesai," katanya.

Pada sidang media sama, Razali turut memaklumkan pihaknya menahan dua 'ulat parkir' dalam operasi khas di Jalan Wong Ah Fook, di sini, pada 4 Mac lalu.