JKSM jadi agensi penyelaras Mahkamah Syariah seluruh negara

Mohd Na'im (kiri) menjadi menjadi salah seorang panel pembentang Kolokium Perundangan dan Kehakiman Syariah Tahun 2021 di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ipoh pada Selasa.
Mohd Na'im (kiri) menjadi menjadi salah seorang panel pembentang Kolokium Perundangan dan Kehakiman Syariah Tahun 2021 di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan menjadi agensi penyelaras bagi Mahkamah Syariah di seluruh negara dalam usaha meningkatkan martabat dan membawa pembaharuan terhadap institusi itu.

Ketua Pengarah JKSM, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, antara yang sedang diusahakan adalah menambah hierarki Mahkamah Syariah negeri-negeri menjadi empat tingkat seperti yang dilaksanakan di Perak.

Menurut beliau, ketika ini semua Mahkamah Syariah negeri hanya mempunyai Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah kecuali Perak yang mempunyai Mahkamah Utama Syariah.

"Saya dalam dua minggu lepas ada perbincangan khas dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membentangkan tentang pemerkasaan Mahkamah Syariah ini dengan peningkatan mahkamah seperti berlaku di Perak.

"Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan dan JKSM akan menjadi agensi penyelaras Mahkamah Syariah seluruh negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi salah seorang panel pembentang Kolokium Perundangan dan Kehakiman Syariah Tahun 2021 di Dewan Bankuet Jabatan Kehakiman Syariah Perak di sini pada Selasa.

Perasmian kolokium tersebut disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mewakili Menteri Besar Perak.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang.

Mohd Na'im berkata, dengan kewujudan satu lagi Mahkamah Syariah seperti Mahkamah Utama Syariah di Perak itu akan memberikan keadilan kepada kes-kes lebih besar nilainya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha itu sekali gus memastikan akses keadilan sama rata dan disebabkan itu terdapat keperluan institusi kehakiman syariah dimantapkan dengan mewujudkan satu lagi mahkamah dalam hierarki Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kolokium yang diadakan antara usaha yang dilakukan ke arah pembaharuan dengan mencari jalan terbaik mempermudahkan isu asas dalam urusan prosiding Mahkamah Syariah.

Menurutnya, pembaharuan tersebut juga turut melibatkan beberapa inovasi yang boleh diguna pakai Mahkamah Syariah seperti 'fast track' dalam urusan berkaitan kes penceraian di Selangor iaitu daripada tiga bulan kepada hanya enam jam sahaja.

"Bila kita perkasakan mahkamah syariah asasnya, kita nak bantu golongan rentan isteri dan anak mendapatkan hak mereka dalam tempoh masa yang munasabah dan tidak ada pihak dizalimi.

"Dengan adanya JKSM, kita dapat mainkan peranan supaya apa sahaja pembaharuan yang dilakukan dapat diselaraskan di semua negeri," katanya.

Sementara itu, Ab Rahman Thobroni berkata, pihaknya bersedia berkongsi pengalaman dan membantu negeri-negeri lain dalam usaha menambah hierarki Mahkamah Syariah masing-masing.

Malah beliau bersama Pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Perak telah dipanggil oleh Ketua Setiausaha Negara dan negeri-negeri lain untuk mendapatkan pandangan mengenai pelaksanaan enakmen tersebut selepas Perak menguatkuasakan Enakmen Mahkamah Syariah 2018.

Jelasnya, perkongsian pengalaman itu melibatkan penyediaan draf Enakmen Mahkamah Syariah Negeri dan pengalaman yang dilalui untuk mempercepatkan proses pewartaan enakmen tersebut.