30 kontak rapat pekerja resort di Langkawi jalani kuarantin

Pulau Langkawi akan dibuka kepada pengembara antarabangsa tidak lama lagi. (Gambar hiasan). - Foto Bernama
Pulau Langkawi akan dibuka kepada pengembara antarabangsa tidak lama lagi. (Gambar hiasan). - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 30 pekerja telah diberikan arahan kuarantin selepas dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada 17 kakitangan sebuah resort terkemuka di Langkawi yang didapati positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, siasatan mendapati majoriti pekerja terlibat tinggal di asrama pekerja disediakan majikan dan berkemungkinan penularan berlaku di tempat tinggal pekerja berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, jangkitan hanya berlaku dalam kalangan pekerja resort dan tidak melibatkan tetamu atau pelancong resort setakat Isnin.

"Sehingga Isnin, 30 orang pekerja yang merupakan kontak rapat kes telah diberikan arahan kuarantin. Semua kes positif adalah bergejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan di rumah oleh pasukan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Langkawi

"Semua pekerja termasuklah kes yang positif telah lengkap menerima vaksinasi Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dr Othman memberitahu, kes positif Covid-19 itu dikesan melalui aktiviti saringan sukarela di kalangan pekerja yang dilakukan oleh majikan.

"Daripada 17 kes berkenaan, tiga kes telah disahkan melalui ujian pengesahan oleh Klinik Kesihatan di Langkawi manakala pekerja lain disahkan melalui ujian oleh klinik swasta," katanya.

Ujarnya, pihak pengurusan resort telah mengambil langkah penutupan secara sukarela bermula 22 November 2021 selama 10 hari bagi kerja-kerja pembersihan dan kawalan jangkitan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi masih meneruskan siasatan dan pengesanan kes, selain memberi khidmat nasihat dan pemantauan berterusan bagi memastikan rantaian jangkitan itu dapat diputuskan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, 'Langkawi Travel Bubble Task Force' telah ditubuhkan kerajaan negeri bagi memastikan jangkitan Covid-19 di daerah Langkawi sentiasa terkawal dan tidak menjejaskan aktiviti pelancongan.

Tambah beliau, jawatankuasa ini diketuai oleh Pegawai Daerah Langkawi dan dianggotai oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan dan swasta serta wakil agensi pelancongan, perhotelan dan penduduk Langkawi.

"Jawatankuasa ini sentiasa mengawasi perkembangan masuk dan keluar pelancong serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pihak yang terlibat serta perkembangan jangkitan Covid 19 di daerah Langkawi," katanya.

Dr Othman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 dan memastikan langkah-langkah pencegahan serta kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Katanya, pengawasan dan penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan pekerja industri pelancongan dan perniagaan, pelancong serta penduduk Langkawi akan diteruskan dengan lebih teratur bersama pelbagai agensi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah resort lima bintang di Langkawi mengambil langkah pencegahan dengan menutup sementara operasinya bermula 22 November berikutan terdapat penularan Covid-19 dalam kalangan pekerjanya.