9 lelaki ditahan sedang curi balak

Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
A
A
A

SINTOK - Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan sembilan lelaki yang mencuri balak dianggarkan bernilai kira-kira RM200,000 di kawasan Hutan Simpan Koh Moi, di sini, kelmarin.

Timbalan Pengarah (Operasi) JPNK, Abd Ramli Izauyahhudin Ramli berkata lelaki berusia antara 31 dan 58 tahun ditahan dalam Operasi Sempadan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Batalion ke-5 Rejimen Sempadan (5RS) selepas hasil risikan selama seminggu.

Katanya, kesemua lelaki terbabit yang merupakan orang tempatan termasuk seorang etnik Rohingya pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Perlarian (UNHCR) dipercayai telah melakukan aktiviti haram itu sejak sebulan lalu.

"Seramai dua pegawai dan 17 anggota serta lapan anggota 5RS telah terlibat dalam operasi ini.

"Kami terpaksa memasuki hutan itu sekitar jam 3 pagi bagi menanti mereka sehinggalah jam 10.30 pagi barulah serbuan dilakukan," katanya dalam suatu kenyataan.

Menurutnya, ketika serbuan mereka cuba melarikan diri namun hasil kecekapan anggota terlibat, mereka berjaya ditahan.

"Siasatan awal mendapati mereka menebang balak bernilai tinggi seperti meranti tembaga, sesenduk dan kelat," katanya.

Abd Ramli berkata pihaknya turut merampas tiga kenderaan pacuan empat roda, sebuah motosikal, satu mesin penebang pokok (chainsaw) dan enam bilah parang yang dipercayai digunakan bagi tujuan mencuri balak.

Artikel Berkaitan:

"Kira-kira 10 hektar hutan telah diteroka kumpulan terbabit dan siasatan awal mendapati mereka telah membelah balak terbabit dalam bentuk yang lebih kecil sebelum menjualnya kepada pembeli yang berminat.

"Kesemua lelaki terbabit kini ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jitra untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 81(1)(b) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana menebang pokok dalam kawasan hutan simpan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

"Selain itu, siasatan turut dilakukan dibawah Seksyen 81(1) (g) kerana menceroboh hutan kekal dan Seksyen 47(1) akta yang sama kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,"katanya.