Pulau Pinang sasar semua 28 SJKT miliki tanah sendiri

Sundarajoo
Sundarajoo
A
A
A

GEORGE TOWN – Pulau Pinang menyasarkan semua 28 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini memiliki tanah sendiri dalam usaha menjamin kelangsungan operasi, pembangunan infrastruktur serta masa depan institusi pendidikan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang yang memberi tumpuan kepada isu pemilikan tanah dan pembangunan sekolah.

Menurutnya, sejak mengambil alih pengurusan jawatankuasa berkenaan kira-kira tiga tahun lalu, sebanyak lima SJKT telah berjaya memperoleh hak milik tanah masing-masing.

“Kita mahu memastikan kesemua 28 sekolah Tamil di Pulau Pinang memiliki tanah sendiri. Setakat ini, kita telah berjaya mendapatkan dan mendaftarkan tanah bagi lima sekolah manakala lima lagi masih dalam proses.

“Kita yakin sasaran itu dapat dicapai dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pembinaan Bangunan Baharu SJKT Rajaji di Air Itam, di sini.

Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada Isnin.

Sundarajoo menambah, kerajaan negeri turut menyediakan tanah seluas 0.93 hektar bagi pembinaan tapak baharu SJKT Rajaji manakala projek pembinaannya akan dilaksanakan oleh pemaju menerusi pematuhan syarat pembangunan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Katanya, pendekatan itu membolehkan sekolah berkenaan dibina tanpa melibatkan sebarang beban kewangan kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Sundarajoo berkata, sekurang-kurangnya tiga projek sekolah SJKT di Pulau Pinang akan memulakan kerja pembinaan atau pecah tanah pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Tahun ini merupakan tahun yang bersejarah bagi kerajaan negeri dan Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil kerana kita dapat melaksanakan pecah tanah untuk tiga sekolah Tamil dalam tempoh setahun.

“Selain pembinaan SJKT Rajaji di tapak baharu, kita juga akan memulakan semula projek yang telah lama tertangguh melibatkan SJKT Sungai Bakap dan SJKT Juru,” katanya.

Tambah beliau, jawatankuasa khas itu turut menyediakan bantuan perabot termasuk kerusi dan meja kepada sekolah-sekolah Tamil sebagai melengkapi kemudahan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!