Kad nikah dikeluarkan Persatuan Rohingya tidak diiktiraf di Pulau Pinang

Marzuki memberitahu, kad nikah dikeluarkan oleh Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya yang tular di media sosial, tidak diiktiraf oleh JHEAIPP dan MAINPP.
Marzuki memberitahu, kad nikah dikeluarkan oleh Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya yang tular di media sosial, tidak diiktiraf oleh JHEAIPP dan MAINPP.
A
A
A

GEORGE TOWN – Kad nikah yang dikeluarkan oleh Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya tidak diiktiraf oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Pengarah JHEAIPP, Datuk Marzuki Hassan berkata, sehingga kini kedua-dua agensi berkenaan tidak mengurus atau mendaftarkan perkahwinan yang melibatkan pelarian termasuk komuniti Rohingya di negeri ini.

Menurutnya, Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya juga tidak diiktiraf oleh MAINPP dan JHEAIPP kerana tidak selaras dengan dasar kerajaan yang ditetapkan menerusi Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23.

“Majlis agama Islam dan jabatan agama Islam di seluruh Malaysia merupakan badan serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengurus dan mendaftarkan perkahwinan orang Islam mengikut peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“Bagaimanapun, sehingga kini MAINPP dan JHEAIPP tidak mengurus atau mendaftarkan perkahwinan yang melibatkan pelarian termasuk Rohingya.

"Kad nikah yang dikeluarkan oleh Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya juga tidak diiktiraf oleh kedua-dua agensi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Marzuki berkata, Arahan MKN No. 23 menetapkan bahawa pelarian tidak dibenarkan menubuhkan sebarang persatuan atau pertubuhan di negara ini.

Jelas beliau, mana-mana pertubuhan yang ditubuhkan, dipimpin atau digerakkan oleh pelarian termasuk yang mendakwa mewakili komuniti pelarian tertentu adalah tidak selaras dengan dasar kerajaan.

“Berdasarkan arahan tersebut, hanya pertubuhan tempatan yang ditubuhkan oleh warganegara Malaysia dibenarkan menjalankan aktiviti berkaitan pelarian.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, aktiviti yang dibenarkan adalah terhad kepada bidang kebajikan, pendidikan dan kesihatan serta tertakluk kepada budi bicara Pendaftar Pertubuhan dan pematuhan terhadap dasar serta undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pertubuhan tempatan yang menjalankan aktiviti kebajikan terhadap pelarian dan pemohon suaka dilarang sama sekali daripada terlibat dalam sebarang aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang.

Menurutnya, larangan itu termasuk aktiviti yang boleh dianggap subversif, meragukan, mengganggu keharmonian, keselamatan dan ketenteraman awam, menjejaskan akhlak serta moral masyarakat setempat, kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu, sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan atau mencemarkan imej kerajaan di dalam dan luar negara.

“Sebarang pelanggaran terhadap larangan ini boleh menyebabkan pendaftaran pertubuhan terbabit dibatalkan dan ahli atau pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peraturan sedia ada.

“Sehubungan itu, mana-mana entiti seperti Persatuan Ulama Rohingya atau pertubuhan lain yang mendakwa mewakili pelarian tidak boleh dianggap sebagai pertubuhan yang diiktiraf kerajaan sekiranya ia ditubuhkan atau digerakkan oleh pelarian,” katanya.

Tambah beliau, sebarang bantuan kepada pelarian hanya boleh disalurkan menerusi pertubuhan tempatan yang sah serta tertakluk kepada kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!