X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 22 Januari 2022

Kawal emosi, hormati peraturan!

Laporan Sukan Sinar pada Khamis. Gambar kecil: Azlan Johar
A
A

PENYOKONG kelab bola sepak perlu sentiasa mengawal diri dengan mematuhi dan menghormati semua syarat-syarat pihak perbadanan stadium dan tuan rumah termasuk prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam sesuatu perlawanan.

Perkara itu ditegaskan penganalisis bola sepak tanah air, Azlan Johar berhubung insiden kemasukan penonton ke padang ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Selangor FC di Stadium Bola Bola Sepak Kuala Lumpur pada Khamis.

Malah menurut Azlan, tidak menjadi kesalahan untuk penyokong-penyokong meraikan kejayaan pasukan masing-masing, namun pemain ke-12 masih tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan sebelum ini ketika berada di stadium.

Malah katanya, kegagalan mematuhi peraturan serta SOP itu dikhuatiri bakal menyebabkan sesebuah pasukan berdepan tindakan seperti didenda atau sebagainya pada masa depan.

“Saya pun pelik kenapa penyokong-penyokong bertindak memasuki padang? Bukankah ia antara perkara yang dilarang atau mungkin kerana sudah lama tidak menyaksikan perlawanan di stadium?

“Jadi mereka kenalah hormat peraturan, tambah lagi SOP ditetapkan kerana kita tidak mahu gara-gara tindakan memasuki padang akan menyusahkan pasukan disokong didenda dan denda yang dikenakan pula sangatlah berat berbanding sumbangan diberikan (dengan membeli tiket). Jadi masing-masing kenalah kawal diri,” katanya.

Pada Khamis, tindakan segelintir penyokong KL City FC memasuki padang setelah tamat aksi suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Selangor FC di Cheras dipercayai bagi meraikan kejayaan The City Boys yang mengesahkan kemaraan ke separuh akhir secara agregat 3-0 hasil kemenangan 2-0 pada 7 November lalu.

Insiden ini merupakan yang kedua berlaku selepas kejadian penyokong Terengganu FC (TFC) memasuki padang bagi meraikan jaringan pemain import pada aksi Kumpulan B saingan Piala Malaysia di Kelana Jaya, pada 7 November.

Kedua-dua insiden itu secara keseluruhannya menimbulkan persoalan berhubung kawalan keselamatan yang disediakan di stadium berkenaan terutamanya oleh pihak tuan rumah.

Bagaimanapun menurut Azlan, pihak tuan rumah tidak sewajarnya dipersalahkan atas insiden berkenaan kerana sudah pasti mereka telah pun menyediakan tahap keselamatan yang terbaik.

“Janganlah salahkan tuan rumah. Ini kerana selagi pihak komisioner perlawanan tidak membenarkan perlawanan berlangsung, ia memang tidak boleh dilangsungkan.

“Lagi pun di setiap perlawanan ada pegawai perlawanan setelah memantau dan berpuas hati dengan semua perkara, barulah perlawanan boleh diteruskan.

“Semua pihak khususnya penonton kenalah hormat peraturan dan juga sekarang ini SOP, kerana perkara ini telah pun dibuat dengan teliti sebelum perlawanan bermula, tapi kalau peminat nak masuk juga macam mana kita nak halang dan sebab itu kena faham dan hormat kepada peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Azlan berkata, insiden tersebut bagaimanapun dilihat tidak akan menjejaskan bidaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi tuan rumah pusingan ketiga aksi kelayakan Piala Asia 2023.

Katanya, sepanjang terlibat dalam bola sepak sama ada sebagai pemain mahupun jurulatih, FAM sememangnya menjalankan tugas selaku penganjur dengan baik.

“Saya rasa perkara ini tidak akan berlaku, kerana sepanjang saya lihat FAM jadi tuan rumah, tak pernah berlaku perkara-perkara tidak diingini.

“FAM memang terbaik dalam soal ini dan saya tetap yakin FAM akan tetap berjaya sekiranya berjaya membida selaku tuan rumah aksi kelayakan Piala Asia nanti,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!