Melaka alami 'zaman gelap' sejak PRU14

FAIRUZ
FAIRUZ
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak 2018, bukan sahaja Melaka tetapi Malaysia melalui 'zaman gelap' selama 22 bulan selepas kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Exco Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata, Sabtu ini (esok) merupakan tarikh keramat yang akan menentukan masa depan Melaka selepas rakyatnya diberi kuasa untuk memilih pemimpin melalui tiga parti utama iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

"PN merupakan sebuah parti baharu yang hanya akan memecahkan undi Melayu berdasarkan rekod yang lepas. PN tidak akan mampu menang dan membentuk kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, daripada keseluruhan 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sembilan kerusi iaitu Lendu, Taboh Naning, Asahan, Pantai Kundor, Rim, Merlimau, Gadek, Durian Tunggal dan Klebang dimenangi dengan majoriti tipis di bawah 1,000 undi dengan enam daripadanya disandang oleh BN dan baki tiga kerusi dikuasai oleh PH.

"Jika undi Melayu pecah kepada PN, sudah pasti, PH akan mendapat keuntungan dengan memenangi kerusi DUN tersebut.

"PN tidak akan berjaya membentuk kerajaan di Melaka tetapi berpotensi menghalang BN untuk membentuk kerajaan.

"Semoga rakyat Melaka bijak memilih dengan melihat kembali kepada sejarah dan rekod pentadbiran kerajaan BN terdahulu," katanya.

Tambahnya, rakyat Melaka disaran memberi mandat yang lebih besar kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri Melaka.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Artikel Berkaitan: