495,195 rakyat Melaka tentukan kerajaan negeri esok

Petugas SPR melakukan persiapan sempena Pilihan Raya Negeri Melaka esok ketika tinjauan di Pusat Daerah Mengundi DUN Asahan di Sekolah Kebangsaan Asahan pada Jumaat. - Foto Bernama
Petugas SPR melakukan persiapan sempena Pilihan Raya Negeri Melaka esok ketika tinjauan di Pusat Daerah Mengundi DUN Asahan di Sekolah Kebangsaan Asahan pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Sabtu (20 November) hari penting bagi rakyat Melaka kerana ia akan menentukan gabungan parti politik mana akan menjadi pilihan seramai 495,195 orang pengundi berdaftar, untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dengan selesainya tempoh berkempen dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada 11.59 malam, Jumaat tumpuan akan terarah ke 217 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN), tempat calon-calon bertanding ‘menyerah nasib’ di tangan rakyat Melaka, bumi bersejarah ini.

Daripada jumlah pengundi berdaftar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15, seramai 476,037 orang pengundi biasa yang akan mengundi esok, seramai 11,557 orang pengundi awal yang telah mengundi pada 16 November lalu, manakala 7,601 orang mengundi secara pos.

Mengimbangi antara tuntutan demokrasi dan kesihatan rakyat kerana pandemik Covid-19 yang masih ada, proses mengundi perlu mengikuti SOP ketat yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelak jangkitan.

Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan pengundi perlu mengimbas kod respon pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PDM.

Pengundi bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas, akan diasingkan serta-merta daripada pengundi yang lain dan mengundi di tempat khas (khemah khas untuk memangkah).

Ejen parti atau calon yang telah selesai bertugas atau pengundi yang telah selesai mengundi perlu segera meninggalkan pusat mengundi, dan pengundi dinasihatkan membuat semakan maklumat pengundian melalui aplikasi mySPR Semak atau di portal Semakan Daftar Pemilih SPR sebelum keluar mengundi.

Bagi mengawal jumlah pengundi yang datang ke pusat mengundi dalam satu-satu masa, peringkat waktu yang digalakkan adalah pada jam 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang.

Artikel Berkaitan:

Bagi pusat penjumlahan rasmi undi, hanya lima orang penyokong bagi calon yang menang (keputusan tidak rasmi) dan tiga orang penyokong calon lain dibenarkan hadir manakala sebarang acara sambutan atau majlis keraian kemenangan calon tidak dibenarkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah di sebelah pagi di kesemua daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah dan Jasin, manakala ribut petir dijangka berlaku di ketiga-tiga daerah tersebut pada sebelah petang.

PRN Melaka menarik penyertaan seramai 112 calon dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) (lima), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) (satu) dan Bebas (22).

Daripada jumlah calon bertanding, seramai 96 orang adalah calon lelaki manakala baki 16 wanita dengan sembilan calon berusia 21 hingga 29 tahun, 21 calon (30-39 tahun), 35 calon (40-49 tahun), 36 calon (50-59 tahun) dan 11 calon (60 tahun ke atas) dengan calon tertua berusia 68 tahun.

PRN kali ini menyaksikan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN, lima penjuru (5 DUN), empat penjuru (9 DUN), tiga penjuru (11 DUN).

Kerusi dijangka panas ialah DUN Asahan yang menyaksikan bekas ketua menteri, Datuk Seri Idris Haron berdepan pertandingan enam penjuru manakala Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pula berdepan pertandingan tiga penjuru di DUN Lendu.

Di DUN Tanjung Bidara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh ditentang Datuk Ermieyati Samsudin dalam pertandingan tiga penjuru, manakala seorang lagi bekas ketua menteri Adly Zahari berdepan pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Katil.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu (esok) berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my