Keputusan kes rasuah bekas majistret Januari depan

Mohamad Amin (kiri) bersama peguamnya hadir di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat.
Mohamad Amin (kiri) bersama peguamnya hadir di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Mahkamah Sesyen Kuantan menetapkan 11 Januari depan sebagai keputusan kes seorang bekas majistret yang menghadapi enam pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM210,000 daripada seorang peniaga.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak dalam prosiding di akhir kes pembelaan terhadap Mohamad Amin Shahul Hamid, 40, pada Jumaat.

Mohamad Amin yang ketika kejadian merupakan majistret di Mahkamah Lipis dan Raub didakwa meminta suapan RM100,000 serta menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri Ahmad Sutan Modo di sekitar Lipis dan Raub, antara 5 Julai dan 22 Oktober 2019.

Ia sebagai dorongan untuk Mohamad Amin hanya mengenakan denda dan tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap Hassan Basri yang didakwa memiliki rokok seludup ketika kes didengar di hadapan tertuduh (Mohamad Amin).

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.

Pada 9 Ogos lalu, Ahmad Zamzani mengarahkan Mohamad Amin membela diri selepas berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Dalam kes itu, seramai 15 saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Artikel Berkaitan: