Keputusan rayuan bebas kes rasuah RM200,000 Sabudin 25 Julai ini

Laporan Sinar Harian September tahun lalu.
Laporan Sinar Harian September tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan bekas Timbalan Pengarah Kanan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh daripada dua pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM200,000 bagi mengeluarkan permit kerja di Mahkamah Tinggi di sini akan diketahui 25 Julai depan.

Hakim, K Muniandy menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan peguam KbTheivaendran mewakili Sabudin.

Semasa hujahan, Wan Shaharuddin berkata, Hakim Mahkamah Seksyen di sini terkeliru dengan pertuduhan-pertuduhan dihadapi Sabudin selaku responden.

Menurutnya, hakim itu juga menyalahkan pihak pendakwaan iaitu dalam kes ini sebagai perayu kerana gagal menunjukkan keperluan responden meminta rasuah daripada saksi utama pendakwaan, Wong May Kuan yang merupakan subkontraktor kepada Dusari Niaga.

"Hakim itu telah melakukan kesalahan besar kerana gagal mempertimbangkan keterangan yang tidak memihak kepada responden.

"Mahkamah juga memutuskan responden telah memberikan keterangan yang jujur," katanya.

Bagaimanapun, Theivaendran menghujahkan bahawa, keputusan hakim membebaskan anak guamnya berdasarkan keterangan saksi, adalah tepat.

"Oleh itu, kami memohon rayuan pihak pendakwaan ditolak," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Sabudin yang ketika itu Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa memperoleh suapan iaitu wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Wong May Kuan, subkontraktor kepada Dusari Niaga yang melaksanakan “Cadangan Kerja-kerja Pengisaran dan Penurapan Semula Jalan bagi Bekas Lubang Gali Syarikat Utiliti Di Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bagi Tahun 2018/2020 (2017/A214)” sebagai upah mengeluarkan permit kerja kepada Dusari Niaga.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di kedai serbaneka di sebuah stesen minyak, Jalan Lingkaran Tengah 2, Bukit Antarabangsa di sini dan di hadapan kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, masing-masing pada 9 Jun 2018 dan 17 Januari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 18 Disember 2020, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Sabudin daripada dua pertuduhan tersebut.

Namun pada 24 Mac 2022, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Sabudin membela diri atas dua pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen.

Pada 4 Julai tahun sama, pihak pembelaan menutup kes selepas mengemukakan lima saksi termasuk Sabudin ketika prosiding di peringkat bela diri yang bermula 12 Mei.

Pada 15 September 2022, Sabudin menangis sejurus Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskannya buat kali kedua daripada pertuduhan tersebut.

Pada hari sama, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Sabudin, 61, di akhir kes pembelaan.