X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Kedah isytihar 'perang' terhadap kartel projek GLC

Muhammad Sanusi
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mengisytiharkan 'perang' terhadap kartel dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memonopoli atau membolot tender projek di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau mendapati kartel dalam GLC boleh berlaku di mana-mana sahaja yang boleh memberi keuntungan.

"Saya ingin berterus teranglah, di GLC nampak ada yang jadi kartel.

"Di semua tempat, sudah ada kartel-kartel yang begitu mencengkam di agensi-agensi atau tempat yang boleh menjana duit," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Khamis.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun) berkaitan peranan kerajaan membuat polisi bukan tubuh syarikat perniagaan yang bersaing dengan usahawan-usahawan.

Muhammad Sanusi menegaskan, beliau akan meneliti perkara tersebut, sekali gus mencari langkah untuk membanteras kartel-kartel yang dikuasai tauke-tauke besar tersebut.

Beliau mendedahkan, kartel berkenaan dipercayai cuba membolot segala projek yang ada sehingga majoriti besar merupakan milik mereka.

"Datanglah 10 projek pun, semua dia lengkung pi (semua dia ambil). 10 sebut harga, sembilan dia punya. Ini berlaku di semua sistem ekonomi kita, bukan di Kedah sahaja tetapi juga di Kuala Lumpur," ujarnya.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan berusaha untuk memerangi segala kartel yang ada di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, dasar kerajaan sejak dahulu adalah GLC yang ditubuhkan diberi projek kerajaan untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil di bawah konsep Payung.

"Ini sejak zaman Datuk Seri Anwar (Ibrahim) jadi Timbalan Perdana Menteri lagi, yang mana konsep itu berterusan tetapi seiring dengan pola ekonomi sekarang. Saya fikir perkara-perkara seperti ini perlu diberi pertimbangan semula," katanya.

Beliau berkata, mana-mana GLC tidak mampu lagi melaksanakan konsep Payung membangunkan kontraktor kecil yang dihasratkan adalah lebih baik tidak diteruskan.

"Insya-ALLAH perkara ini akan diberikan perhatian. Saya berharap sahabat-sahabat saya di GLC turut mengamalkan konsep bersyukur dan sabar," katanya.

Tambah Muhammad Sanusi, pelantikan bagi pengurusan dan eksekutif tertinggi GLC di Kedah berdasarkan pelantikan secara kontrak berasaskan merit merupakan usaha menangani pengurusan yang gagal sehingga menyebabkan kerugian.

Tegas beliau, penilaian kepada penyambungan kontrak lantikan adalah berasaskan kemahiran dan kebolehan bagi memastikan tampuk kepimpinan GLC sentiasa dalam keadaan terbaik dan kompeten.

"Jikalau mereka tidak berperanan dengan baik atau mengalami kerugian, kontrak mereka tidak akan disambung," kata beliau.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!