‘Tidak ada yang memecat atau dipecat’ - CEO Yayasan Peneraju

Mohd Muzzammil dalam perkongsian video di TikTok miliknya pada Rabu
Mohd Muzzammil dalam perkongsian video di TikTok miliknya pada Rabu
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), Dr Mohd Muzzammil Ismail menjelaskan tiada sesiapa yang memecat atau dipecat daripada jawatan yang dipegang olehnya itu.

Mohd Muzzamil berkata, beliau telah mengadakan perbincangan bersama dengan ahli Lembaga Pemegang Amanah dan melihat ada kemajuan kerjaya berhubung perkara berkenaan.

“Berhubung berita pemecatan CEO, 'kunci mulut' dan sebagainya, sebenarnya tidak ada sesiapa yang memecat atau dipecat.

“Perbincangan antara saya dan ahli Lembaga Pemegang Amanah telah pun dibuat secara harmoni dan saya melihat ada peluang lain untuk ‘career progression’ (kemajuan kerjaya) dalam perkara ini.

“Sama-sama kita doakan agar Yayasan Peneraju terus merealisasi aspirasi dan bakat Bumiputera, insyaALLAH. Ini cerita saya,” katanya dalam perkongsian video di akaun rasmi TikTok miliknya pada Rabu.

Sebelum ini Bendahari UMNO Kuala Kedah itu dilantik ke jawatan berkenaan pada Oktober 2020.

Sementara itu semakan di laman web Yayasan Peneraju pada bahagian pihak pengurusan gagal menemui sebarang maklumat mengenai kedudukan Mohd Muzzammil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Pada Selasa, Mohd Muzzammil Ismail bertindak 'kunci mulut' mengenai desas-desus pemecatannya daripada jawatan itu.

Ketika dihubungi, beliau hanya menjelaskan mengenai status kontrak yang sepatutnya berakhir Oktober 2024.