X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Tragedi berulang, di mana salahnya?

Keadaan pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM yang terhempas di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth pada Selasa malam.
A
A

NEGARA pada Selasa dikejutkan dengan insiden kemalangan membabitkan sebuah pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di landasan Pangkalan Udara, Butterworth, Pulau Pinang.

Tragedi yang berlaku semasa sesi latihan penerbangan pada lewat malam itu mengorbankan seorang nyawa perajurit tanah air iaitu Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, manakala rakan sepenerbangannya pula mengalami kecederaan dan dilaporkan stabil.

Ini bukan merupakan insiden pertama melibatkan pesawat jenis tersebut kerana sejak TUDM mula menggunakannya pada tahun 1994, sebanyak lapan insiden sedemikian dilaporkan telah berlaku menyebabkan tujuh juruterbang maut.

Kali terakhir pesawat jenis tersebut terhempas berlaku pada tahun 2017 dalam sebuah insiden di kawasan hutan di Chukai, Terengganu yang telah meragut nyawa dua juruterbang TUDM ketika mereka sedang mengadakan latihan penerbangan.

Dengan kekerapan kes kemalangan sedemikian, timbul persoalan mengenai keperluan kerajaan untuk menilai semula penggunaan pesawat pejuang tersebut dalam aktiviti pertahanan yang dilakukan oleh TUDM.

Isu penting yang akan turut berbangkit adalah mengenai langkah akan diambil kerajaan untuk memodenkan aset pertahanan yang dimiliki TUDM.

Pada Rabu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan untuk menggantung penggunaan pesawat pejuang Hawk akan ditentukan selepas siasatan khas tragedi kemalangan terbaharu itu selesai.

Beliau berkata, ketetapan yang dibuat juga akan dilakukan berdasarkan laporan terperinci oleh Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad.

Mengulas keperluan untuk untuk mempercepatkan pembelian aset baharu susulan insiden kemalangan tersebut, Hishammuddin berkata, perkara itu bergantung kepada keutamaan yang digariskan TUDM.

Menurut beliau, usia pesawat berkenaan bukan merupakan isu utama selagi ia diselenggarakan dengan baik.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz pada Rabu memaklumkan bahawa berdasarkan laporan awal, siasatan mendapati faktor kemalangan insiden lebih terarah faktor operasi dan latihan berbanding isu teknikal.

Ikmal Hisham bagaimanapun berkata, masa yang lebih diperlukan membolehkan pihak berkaitan melakukan siasatan lebih terperinci.

Mengulas mengenai penarafan D dengan skor sebanyak 45 yang diberikan kepada Malaysia oleh Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) 2020 yang dikeluarkan Transparency International pada Selasa, Ikmal Hashim berkata, kementeriannya akan memberi kerjasama sebaiknya dalam sebarang siasatan susulan penarafan rendah tersebut.

Beliau bagaimanapun turut menegaskan bahawa secara keseluruhannya, Kementerian Pertahanan (Mindef) telah melaksanakan perolehan dan pembelian mengikut tatacara yang sedia ada.

Menurutnya, Mindef juga telah menubuhkan pelbagai jawatankuasa untuk menyiasat semua isu yang berlaku di kementerian terbabit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!