Petrosains RBTX Challenge 2024 kembali perkasa pengetahuan STEM

Chang Lih Kang (dua dari kanan) bersama Ezarisma Azni Mohamad (tengah) melawat dan melihat robotik selepas merasmikan Petrosains RBTX Challenge 2024 pada Isnin.
Chang Lih Kang (dua dari kanan) bersama Ezarisma Azni Mohamad (tengah) melawat dan melihat robotik selepas merasmikan Petrosains RBTX Challenge 2024 pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petrosains RBTX Challenge 2024 anjuran Petrosains Sdn Bhd (Petrosains) kini kembali untuk edisi keenam bagi memperkasakan pengetahuan berteraskan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) khususnya buat golongan muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad berkata, pertandingan itu akan terus mengekalkan tiga kategori utamanya iaitu Robo Tracer, Robo Sumo dan Inovasi yang merangkumi lapan sub-kategori bertemakan kelestarian.

Menurutnya, aspek kecerdasan buatan AI turut diintegrasikan dalam kategori Robo Tracer bagi menawarkan peluang kepada peserta untuk memperkasakan lagi pengetahuan mereka mengenai teknologi terkini.

"Penambahan ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pertandingan tetapi melengkapi peserta dengan kemahiran berkait rapat teknologi robotik dan AI yang kian berkembang pesat.

Chang Lih Kang (kanan) bersama Ezarisma Azni Mohamad (kiri) merasmikan Petrosains RBTX Challenge 2024 pada Isnin.
Chang Lih Kang (kanan) bersama Ezarisma Azni Mohamad (kiri) merasmikan Petrosains RBTX Challenge 2024 pada Isnin.

"Selain itu, dengan matlamat untuk memperkukuhkan warisan budaya yang kaya daripada komuniti orang asal, kategori Inovasi pertandingan tahun ini turut memperkenalkan sub-kategori yang baharu, iaitu Indigenous Culture and Technology yang direka khas untuk pelajar-pelajar kaum asal di Malaysia.

"Ia menekankan aspek digital inklusif dan pembangunan komuniti dengan memperkasakan pengetahuan dan mempromosikan kelestarian alam sekitar menerusi penerapan aspek ini ke dalam kerangka pertandingan, malah peserta juga digalakkan berinovasi serta menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian pertandingan itu di Galaxy Hall Petrosains, Suria KLCC di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Chang Lih Kang
Chang Lih Kang

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang; Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Abdullah Daud serta Pengurus Besar Kanan Strategi, Perkhidmatan Korporat, Teknologi dan Pelaksanaan Projek Petronas, Abang Jimmy Abang Mordian.

Mengulas lanjut, Ezarisma berkata, pertandingan tersebut direka bagi mempersiapkan peserta dengan latihan asas dalam reka bentuk, pengekodan dan sensor untuk pembangunan robotik.

Ujar beliau, ia juga bertujuan mendidik orang ramai tentang perkembangan era digital yang pesat dalam teknologi robotik, AI dan internet pelbagai benda (IoT).

Chang Lih Kang (tengah) bersama Ezarisma Azni Mohamad (dua dari kanan) melawat dan melihat robotik selepas merasmikan Petrosains RBTX Challenge 2024 pada Isnin.
Chang Lih Kang (tengah) bersama Ezarisma Azni Mohamad (dua dari kanan) melawat dan melihat robotik selepas merasmikan Petrosains RBTX Challenge 2024 pada Isnin.

"Pasukan yang mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut diminta untuk menghantar entri video bagi menunjukkan hasil ciptaan robot mereka iaitu kemampuan menyelesaikan masalah atau menyampaikan idea inovatif.

"Pendaftaran pertandingan telah dibuka bermula Isnin hingga 31 Julai 2024 dan pusingan akhir bakal diadakan pada Oktober tahun ini.

"Peserta berpeluang memenangi hadiah tunai bernilai lebih daripada RM48,000.00 serta e-sijil daripada Petrosains. Sebarang urusan pendaftaran dan maklumat lanjut boleh layari laman web https://rbtxchallenge.com/," katanya lagi.

Tambah Ezarisma, sejak diperkenalkan pada tahun 2018, pertandingan berkenaan telah memanfaatkan lebih 50,000 individu sama ada di dalam dan di luar negara dengan 4,700 penyertaan melibatkan 14,000 peserta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!