Isu monyet liar Taman Melaka Perdana belum bernoktah

Penduduk Taman Melaka Perdana resah masalah monyet liar masih menghantui mereka sejak 10 tahun lalu.
Penduduk Taman Melaka Perdana resah masalah monyet liar masih menghantui mereka sejak 10 tahun lalu.
A
A
A

KIRA-kira 1,000 penduduk Taman Melaka Perdana, Ayer Keroh, Melaka hidup dalam keresahan sejak lebih 10 tahun lalu apabila kehadiran monyet liar di kawasan perumahan itu dilihat semakin tidak terkawal.

Apa Khabar Rakyat kali ini menyelami kebimbangan penduduk taman itu apabila haiwan liar terbabit kini hadir dengan kumpulan lebih besar antara 10 hingga 15 ekor selain turut bertindak agresif merosakkan harta benda milik penduduk.

Ancaman dan gangguan monyet liar mengakibatkan beberapa penghuni rumah menanggung kerugian berbelas ribu ringgit akibat kerosakan dilakukan haiwan liar terbabit.

Penduduk, Mohd Akhtar Abdul Karim, 46, berkata, ada ketikanya monyet liar ini cuba memasuki dalam rumah melalui tingkap atau bumbung yang dirosakkan, dipercayai mencari makanan.

Mohd Akhtar menunjukkan getah dipasang pada tong sampah bagi mengelak diselongkar monyet liar.
Mohd Akhtar menunjukkan getah dipasang pada tong sampah bagi mengelak diselongkar monyet liar.

Katanya, dia terpaksa menanggung kerugian disebabkan bumbung rumahnya mengalami kerosakan hingga mengakibatkan kebocoran apabila hujan.

“Haiwan liar ini akan pecahkan atap genting rumah dan memerlukan kos yang besar untuk memperbaikinya.

“Apabila hujan, air akan masuk melalui bumbung yang bocor ini dan merosakan peralatan rumah selain keadaan menjadi lembap serta berbau,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan tong sampah rumah penduduk diikat bagi menghalang monyet menyelongkar tong sampah.
Kebanyakan tong sampah rumah penduduk diikat bagi menghalang monyet menyelongkar tong sampah.

Tambahnya, bermula daripada seekor, kini bilangan monyet liar bertambah melebihi 15 ekor dalam satu-satu masa.

Ujarnya, bilangan yang banyak menjadikan haiwan liar itu semakin berani menceroboh ke kawasan perumahan untuk mencari makanan.

“Penduduk juga berisiko diserang termasuk kanak-kanak yang bermain di taman permainan pun rasa tidak lagi selamat,” katanya.

Tindakan ganas haiwan liar itu turut menakutkan warga emas, Agatha Tang, 65, ekoran monyet liar ini enggan beredar walaupun sudah dihalau.

Tang berkata, haiwan liar itu tidak akan berganjak walaupun disergah dan ada kalanya cuba menyerang penduduk.

“Kalau monyet jantan lagi ganas dan jika dihalau, dia akan serang balik kerana langsung tak takut orang,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Syed Mustaffa Syed Jaafar, 69, berkata, kekotoran dicetuskan monyet liar dikhuatiri menyebabkan muncul pelbagai penyakit bawaan haiwan.

Menurutnya, ini kerana kumpulan monyet liar akan selongkar tong sampah penduduk hingga berselerakan di jalan.

Antara bumbung rumah penduduk dirosakkan monyet liar.
Antara bumbung rumah penduduk dirosakkan monyet liar.

Bekas pegawai bank, Hay Chin Ann, 60, mengakui terpaksa berbelanja lebih RM12,000 menggantikan bumbung garaj rumahnya yang rosak.

“Gara-gara monyet liar, saya terpaksa tukar bumbung rumah yang lebih berkualiti daripada besi supaya tahan lama berbanding menggunakan bumbung gentian kaca,” katanya.

Difahamkan, aduan sudah beberapa dikemukakan kepada pihak berkaitan termasuk pernah dijanjikan perangkap sangkar untuk memerangkap monyet.

Namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada pihak berkaitan bagi menyelesaikan masalah itu.

Chee Yee
Chee Yee

Kehadiran monyet liar akan dipanjangkan kepada Perhilitan

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, isu dihadapi penduduk Taman Melaka Perdana akan dipanjangkan kepada pihak berkaitan.

Beliau menegaskan, pihaknya akan membawa perkara itu kepada pihak berkaitan termasuk dimajukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan susulan.

Menurutnya, kebiasaan sangkar perangkap akan dipasang, namun itu bukan solusi berkesan dalam jangka masa panjang kerana kebanyakan kes selepas seekor dua monyet berjaya diperangkap, yang lain tidak akan masuk lagi.

“Mungkin pada permulaan monyet lain akan takut dan kurang datang, tapi biasanya dua atau tiga minggu kemudian, haiwan ini akan kembali semula.

“Cabaran di Ayer Keroh ini ialah kita banyak kawasan hutan dan menjadi habitat semula jadi monyet selain penduduk yang memberi makanan menjadikan mereka tidak takut kepada manusia,” katanya.

Jelasnya, Perhilitan juga pernah memaklumkan apabila membuat tangkapan atau penghapusan haiwan liar, ada penduduk membuka semula sangkar untuk melepaskan monyet yang ditangkap.

“Kita harap semua pihak dapat bersama berganding bahu menyelesaikan permasalahan lapuk ini yang menghantui penduduk sejak sekian lama,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!