Asnan lihat peluang KDA FC, JDT FC sama

Asnan Ahmad antara pemain KDA FC yang kini menonjol di bawah bimbingan Aidil Sharin. - Foto Kedah Darul Aman FC
Asnan Ahmad antara pemain KDA FC yang kini menonjol di bawah bimbingan Aidil Sharin. - Foto Kedah Darul Aman FC
A
A
A

PELUANG Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) FC untuk keluar sebagai pemenang pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2021 di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis adalah 50-50.

Pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Asnan Ahmad melihat kedua-dua pasukan mempunyai peluang sama berdasarkan corak permainan yang dipamerkan pada suku akhir pertama di Stadium Darul Aman pada Ahad.

Menurutnya, disiplin tinggi pemain dan taktikal yang digunakan oleh pengendali hijau kuning, Aidil Sharin Sahak telah membantu pasukan tersebut untuk mengikat juara Liga Super 2021 tersebut tanpa jaringan pada pertemuan pertama.

"Saya percaya perkara sama akan dipamerkan oleh semua pemain KDA FC pada suku akhir kedua di laman lawan.

"Peluang kedua-dua pasukan antara JDT FC dan KDA FC adalah 50-50 dan kita perlu bersedia. Apa yang paling penting adalah semua pemain perlu mengekalkan disiplin dalam satu pasukan," katanya semasa ditemui di Stadium Darul Aman pada petang Rabu.

Mengulas lanjut, Asnan berkata, pemain KDA FC juga akan membawa semangat juang tinggi hijau kuning apabila bertandang ke laman lawan termasuk berdepan laungan penyokong skuad Benjamin Mora.

Menurutnya, sebagai seorang pemain bola sepak profesional, mereka seharusnya tidak gentar dengan laungan di Stadium Sultan Ibrahim kerana sudah siap dari segi mental dalam menghadapi sorakan penyokong lawan.

"Kami bermain sebagai sebuah pasukan dan keserasian itu perlu ada dalam melakukan serangan ke atas pihak lawan. Saya sangat gembira kerana kebanyakan pemain KDA FC di bahagian tengah adalah pemain muda yang sentiasa membantu antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

"Laungan penyokong JDT FC nanti bukan melemahkan semangat kami, malah akan menyemarakkan lagi semangat pemain KDA FC nanti,” katanya.