Sungai Kim Kim masih tercemar?

Sungai Kim Kim yang menyusuri beberapa kampung dalam kawasan itu
A
A

PASIR GUDANG - Penduduk Kampung Bukit Pulai, Taman Pasir Putih mendakwa keadaan pencemaran di Sungai Kim Kim belum pulih dan masih berada di paras yang membimbangkan.

Penduduk, Zulkifly Kassim, 50, berkata, meskipun kerja pembersihan dijalankan di lokasi pembuangan sisa kimia itu, namun ia masih belum mencukupi memandangkan keadaan air yang sentiasa mengalir.

Zulkifly dan Nur Satria
Zulkifly dan Nur Satria

Menurutnya, kawasan sungai yang dilihat masih tercemar teruk itu sukar diakses orang awam termasuk pihak berkuasa kerana ia perlu menggunakan laluan air.

"Jarak kawasan itu (tercemar) adalah kira-kira 500 meter hingga 1 kilometer dari lokasi pembuangan sisa bahan kimia di bawah jambatan yang menghubungkan Taman Pasir Putih dan Taman Kota Masai.

"Pada mulanya saya terpanggil meninjau kawasan sungai yang lebih ke dalam, kerana saya bimbang esok anak saya dan anak-anak penduduk lain akan mula sekolah, takut ada yang pengsan dan perkara buruk berlaku.

"Kawasan sungai yang ke dalam itu tidak boleh dilalui kalau jalan kaki, kalau nak ambil gambar guna dron tidak nampak kerana ada bakau, ular juga besar-besar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Zulkifly berkata, selepas mengambil keputusan meninjau menggunakan bot, dia kemudiannya mendapati terdapat banyak tompokan minyak di kawasan tersebut yang mana keadaannya hanya tertumpu di satu kawasan dan tidak mengalir ke laut.

Laluan air sahaja boleh digunakan untuk meninjau keadaan kawasan tercemar
Laluan air sahaja boleh digunakan untuk meninjau keadaan kawasan tercemar

"Tidak mustahil, minyak akan berkumpul dan lagi banyak gas yang mungkin beracun terhasil. Kalau mereka dapat lihat, ikan kecil dan besar, hidupan sungai lain, banyak yang mati," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Nur Satria Rabu, 33, berharap keadaan sungai yang tercemar itu dapat dibaik pulih segera memandangkan penduduk kampung memerlukan udara dan air sungai yang bersih.

Dia yang juga bekerja sebagai nelayan di kawasan itu berkata, sumber rezekinya juga banyak terjejas sejak beberapa tahun ini memandangkan keadaan sungai yang tidak begitu baik.

"Dengan keadaan minyak begini, saya nak turun ke sungai pun bahaya, bau busuk masih kuat, ikan banyak mati, belum cakap pasal sampah lagi, memang sungai ini masih tercemar.

"Saya harap pihak yang membuang sisa bahan kimia ini fikir tentang keadaan penduduk di sini dan bertanggungjawab dengan apa yang dilakukannya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pencemaran bahan kimia: 4 kakitangan hospital semakin pulih

Pencemaran bahan kimia: Kerja pembersihan 2 sekolah lancar

Seorang pelajar pengsan, lima muntah