X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 24 Januari 2022

Bon AS$3 bilion tidak diguna biayai usaha 1MDB bayar hutang, derma

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa diberitahu bahawa bon AS$3 bilion yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia kepada anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL) tidak pernah digunakan untuk tujuan asalnya iaitu membiayai usaha sama 1MDB.

Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, 48, berkata, dana itu sebaliknya digunakan untuk tujuan yang tidak berkaitan seperti derma kepada dua pertubuhan kebajikan pada 2013, membayar hutang dan dipindahkan kepada beberapa syarikat.

“Sejumlah AS$205 juta dana itu telah dipindahkan kepada dua pertubuhan kebajikan bagi tujuan derma pada 2013 dan AS$100 juta dipindahkan kepada Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang manakala AS$105 juta dipindahkan kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) antara 25 Mac dan 2 Mei 2013.

“Tujuan wang AS$100 juta ini dipindahkan adalah derma kepada Kelab Kebajikan 1Malaysia Pulau Pinang atas arahan bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias yang saya percaya ia merupakan arahan daripada Datuk Seri Najib,” katanya.

Beliau berkata, wang AS$105 juta yang dipindahkan kepada YR1M adalah bagi tujuan derma atas arahan Azlin, juga dipercayai atas arahan Najib selaku pemegang amanah yayasan itu.

Azmi berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi setebal 127 muka surat pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Sebelum ini, saksi itu mengesahkan terdapat perjanjian antara Aabar Investment PJS dan 1MDB bertarikh 12 Mac 2013 bagi menubuhkan usaha sama pelaburan yang dinamakan Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC).

Susulan perjanjian usaha sama itu, 1MDB telah menerbitkan bon melalui 1MDB GIL bernilai AS$3 bilion bagi tujuan membiayai cadangan pelaburan ADMIC.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa wang itu (AS$3 bilion) juga dipindahkan ke dalam beberapa akaun untuk membayar hutang antara Mac dan September 2013.

Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata sebahagian daripada wang itu juga dipindahkan kepada beberapa entiti iaitu Enterprise Emerging Markets Fund atau EEMF (AS$414.8 juta), Cistenique Investment Fund (AS$379.6 juta), Devonshire Funds Ltd ( AS$586.9 juta), Brazen Sky (AS$3.3 juta), Pacific Harbour Global Growth (AS$126 juta), Standard & Poor's Singapore Pte Ltd (AS$1.15 juta), Linklaters Singapore Pte Ltd (AS$1.5 juta) dan Corporate Trust Services (AS$62.3 juta).

Azmi berkata, sejumlah AS$791.8 juta turut dipindahkan ke dalam akaun 1MDB untuk pembelian tanah di Ayer Hitam dan bagi tujuan pembayaran hutang lain.

Katanya, beliau dan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB tidak tahu bahawa terdapat perbezaan antara Aabar Investments PJS dan Aabar Investments PJS Ltd, yang dinamakan dalam beberapa perjanjian bersama dengan sebuah anak syarikat milik 1MDB iaitu 1MDB Energy (Langat) Ltd.

Beliau berkata, perjanjian itu telah menyebabkan 1MDB membuat pembayaran berjumlah AS$699.3 juta kepada kedua-dua syarikat.

Pada 2012, Azmi berkata, 1MDB telah menandatangani perjanjian opsyen bersama Aabar Investments PJS manakala perjanjian kerjasama bagi peningkatan kredit ditandatangani dengan Aabar Investments PJS Ltd.

“Saya tidak pernah tahu sebelum ini terdapat perbezaan antara nama kedua-dua Aabar tersebut malah Ahli Lembaga Pengarah 1MDB juga tidak perasan mengenai perbezaan ini.

“Ini disebabkan pada kedua-dua perjanjian tersebut, alamat syarikat yang diberikan adalah sama selain kedua-duanya diwakili oleh orang yang sama iaitu Mohamed Al-Hoseiny,” katanya sambil menambah kesemua perjanjian disediakan oleh bekas peguam 1MDB iaitu Jasmine Loo.

Azmi berkata, beliau hanya menyedari perbezaan itu apabila ia dibangkitkan oleh Jabatan Audit Negara semasa proses audit 1MDB pada 2015.

“Saya bertanyakan perkara ini kepada bekas Timbalan Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Terence Geh dan Terence ketika itu turut mengesahkan kedua-dua Aabar merupakan anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Setahu saya, Terence telah menyerahkan dokumen penyandang yang membuktikan kedua-dua Aabar adalah milik IPIC kepada Jabatan Audit Negara dan saya tidak nampak sebarang masalah mengenai perbezaan ini sehingga dipanggil memberi keterangan kepada pihak berkuasa pada 2015,” katanya.

Pada prosiding sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa Najib sendiri telah mencadangkan usaha sama antara 1MDB dengan anak syarikat IPIC terbabit bagi memastikan usaha sama antara kerajaan melibatkan Abu Dhabi dan Malaysia dijayakan.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!