KJ akui rokok elektronik, vape berbahaya

Sumber gambar daripada laman web Ikram: Khairy (tengah) bersama Dr Mohd Afiq Mohd Nor (empat dari kiri) serta beberapa NGO selepas sesi perbincangan bersama mengenai isu kawalan merokok.
Sumber gambar daripada laman web Ikram: Khairy (tengah) bersama Dr Mohd Afiq Mohd Nor (empat dari kiri) serta beberapa NGO selepas sesi perbincangan bersama mengenai isu kawalan merokok.
A
A
A

SHAH ALAM - Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Malaysia (Ikram Health), Dr Mohd Afiq Mohd Nor memaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sendiri mengakui bahawa rokok elektronik atau vape adalah berbahaya.

Ujar Mohd Afiq, Khairy turut menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama sekali tidak akan mengiktiraf rokok elektronik itu sebagai strategi Pengurangan Risiko Tembakau (Tobacco Harm Reduction).

“Ya, YB (Khairy) sendiri akui yang vape itu berbahaya dan menegaskan KKM tetap menolak konsep ‘harm reduction’ yang dicanang-canang oleh sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Afiq berkata, Khairy berkata demikian dalam satu sesi libat urus berkaitan isu kawalan produk merokok bersama 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam advokasi dan kesedaran bahaya tabiat merokok di Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurutnya, seluruh NGO tetap menolak cadangan kerajaan dalam membenarkan penjualan rokok elektronik dan vape bernikotin meskipun terdapat beberapa perkara positif diutarakan oleh menteri dalam perbincangan berkaitan akta baru kawalan merokok yang akan dibentangkan nanti.

Dalam pada itu, wakil Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH), Profesor Dr Mohamad Haniki mempersoalkan asas yang digunakan oleh KKM dalam menetapkan sukatan tertentu untuk rokok elektronik berkenaan.

“Tiada bukti nikotin dalam rokok elektronik selamat digunakan. Berapakah kepekatan nikotin dalam cecair vape yang akan dibenarkan nanti?

“Apakah asas yang digunakan YB (Khairy) dalam menetapkan sukatan tertentu?,” soalnya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Haniki turut mempersoalkan usaha menghalalkan penjualan cecair vape bernikotin sebagai satu keputusan bertentangan dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Pada 8 November, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan ANMS yang merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19.