Tiga lelaki ditahan edar daun ketum

Antara daun ketum yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada Isnin. - Foto: Ihsan PDRM
Antara daun ketum yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada Isnin. - Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

JEMPOL- Tiga lelaki cuba mengedar 680 kilogram (kg) daun ketum ditahan dalam dua serbuan berasingan pada Isnin.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 32 tahun dan rakannya berusia 36 tahun di tepi jalan besar Taman Desa Penarikan, Bahau kira-kira jam 8 malam.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah menahan lori yang dinaiki suspek di lokasi dan hasil pemeriksaan menemukan 520 kg daun ketum.

"Daun ketum berkenaan dibawa dari sebuah negeri di utara tanah air dengan lori dipandu suspek dan seorang lagi rakannya," katanya ketika mengesahkan laporan pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua daun itu dianggarkan bernilai RM5,200 dan ia dipercayai untuk diedarkan dan dijual di sekitar daerah ini.

Chang Hook berkata, berdasarkan ujian air kencing, kedua-dua suspek itu didapati negatif dadah, bagaimanapun pemandu lori tersebut mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

Katanya, pada jam 8.15 malam, polis menangkap seorang lagi suspek berusia 27 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Desa Penarikan dan merampas 160 kg daun ketum yang diisi di dalam beg dan plastik hitam.

Katanya, siasatan awal mendapati daun ketum berkenaan diperoleh dari sekitar daerah ini.

Artikel Berkaitan:

"Nilai rampasan berjumlah RM1,600 dan suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran daun ketum sejak Julai lalu. Ujian air kencing suspek negatif dan suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Chang Hook berkata, kenderaan yang digunakan kesemua suspek turut dirampas dan polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.