Kisah judi dan adab berbicara

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KECOH seharian berkaitan isu judi sehingga ‘berjangkit-jangkit’ kepada isu lain.

Ia bermula apabila keputusan kerajaan negeri Kedah yang tidak meluluskan permohonan baharu lesen judi dan dikatakan hanya melibatkan segelintir peniaga, selain tidak menjejaskan ramai pekerja.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kemudiannya meminta peniaga yang terjejas untuk mencari alternatif baharu dengan meneroka perniagaan lain yang lebih bersesuaian.

Bagaimanapun, apa yang tidak sedap didengar ialah kenyataan Muhammad Sanusi yang dikatakan mengaitkan judi ekor dengan Pulau Pinang.

Ia sekali gus mengundang teguran daripada Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menyifatkannya sebagai sesuatu yang mendukacitakan dan tidak wajar.

Menteri Besar Kedah itu juga diminta agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan serta menjaga imejnya sebagai pemimpin kerajaan negeri yang dihormati.

Menurut Wan Salim, kenyataan yang dibuat boleh dianggap sebagai suatu penghinaan terhadap institusi-institusi agama Islam di Pulau Pinang yang sentiasa berusaha memartabatkan kedudukan Islam di negeri berkenaan.

Tidak habis di situ, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim didakwa ‘membuli’ seorang wartawan sebuah portal yang menyoal isu penutupan kedai nombor ekor di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Idris menyoal sama ada wartawan berkenaan boleh menerima jika suaminya 'kaki judi' manakala Awang meminta supaya wartawan itu bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu.

Bagaimanapun, Awang menjelaskan, sebagai seorang rakyat Malaysia, beliau hanya memberikan teguran kepada seorang wartawan portal berita itu supaya berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu.

Manakala Idris yang juga Naib Presiden Pas menolak ‘nasihat’ supaya memohon maaf kepada wartawan wanita itu, sebaliknya memberitahu Dewan Rakyat beliau tidak melakukan sebarang provokasi terhadap petugas media itu.

Tindakan kedua-dua pemimpin itu nyata kurang disenangi dan mendapat respons pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

Menurut beliau, respons yang diberi jelas menunjukkan sikap mereka yang tidak menghormati kerjaya wartawan dan wanita, yang mungkin dilihat sebagai mudah dibuli.

Tambahnya, ‘serangan’ sedemikian bukanlah sesuatu yang mengejutkan daripada seorang pemimpin Pas, namun ia tidak boleh dimaafkan apabila datang daripada seorang menteri.