Teknik AI hasil lebih banyak baka ternakan berkualiti

Teknik AI ialah memasukkan benih jantan baka elit ke dalam saluran pembiakan lembu betina secara manual tanpa pengawanan semula jadi. Gambar hiasan 123rf
Teknik AI ialah memasukkan benih jantan baka elit ke dalam saluran pembiakan lembu betina secara manual tanpa pengawanan semula jadi. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

SEREMBAN - Penternak di Negeri Sembilan disaran menggunakan teknik Permanian Berhadas (AI) terhadap ternakan mereka bagi memperbanyak baka baharu yang lebih berkualiti.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, teknologi itu juga mampu menjana pendapatan yang lebih lumayan kepada penternak, sekali gus meningkatkan sektor penternakan di Negeri Sembilan berbanding kaedah pembiakan secara tradisional yang digunakan oleh mereka ketika ini.

Beliau berkata, Negeri Sembilan yang merekodkan pengeluaran hasil ternakan bernilai RM1.04 bilion pada tahun lepas masih mampu meningkatkan jumlah itu pada tahun akan datang sekiranya penternak mula mengaplikasi teknik AI.

“Memperkasa bidang penternakan merupakan satu agenda yang kita (kerajaan negeri) telah susun sejak kebelakangan ini dan apa yang penting, kita nak melihat perkembangan teknologi itu dapat membantu penternak khususnya di Negeri Sembilan.

“Penggunaan teknologi baharu memastikan kita dapat membantu penternak meningkatkan pengeluaran mereka dari semasa ke semasa, jadi mereka tidak terikat dengan penternakan cara tradisional,” katanya.

Aminuddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Sembilan yang turut dihadiri Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir serta Timbalan Ketua Pengarah JPV, Dr Suratan Kamarudin di sini pada Isnin.

Teknik AI ialah memasukkan benih jantan baka elit ke dalam saluran pembiakan lembu betina secara manual tanpa pengawanan semula jadi.

Aminuddin berkata, berdasarkan statistik bancian ternakan pada tahun lepas, Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 1,878 ekor kerbau, lembu (36,845), kambing (13,109), bebiri (12,538) dan ayam (25,441,382).

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan Kadar Sara Diri (SSL) pada tahun lepas bagi komoditi daging ayam ialah sebanyak 289 peratus, telur ayam (260), daging lembu (31.21), daging kambing (5.7) dan susu (110).

Katanya, bekalan daging lembu, kerbau, kambing dan bebiri masih rendah di Negeri Sembilan dan perlu diberi tumpuan sekali gus memastikan berlaku peningkatan daripada jumlah penternak serta bilangan haiwan yang diternak. - Bernama