'Takkan itu dikatakan membuli' - Awang

Idris, Awang
Idris, Awang
A
A
A

SHAH ALAM – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim pada Isnin tampil menjelaskan isu sebenar berhubung dakwaan beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad membuli wartawan selepas Program Perikatan Nasional (PN) pada Ahad.

Awang mendakwa, sebagai seorang rakyat Malaysia beliau hanya memberikan teguran kepada seorang wartawan portal berita supaya berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu.

”Dia kata dia boleh berbahasa Malaysia, OK lah. Kita kata Bahasa Malaysia. Takkan itu dikatakan membuli?

”Tapi itulah, bila perkara-perkara ini disiarkan dalam media, disebut perkataan buli,” katanya dalam ’Program Melaka, Buli Wartawan?- MG tanya Awang Hasim’ yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial MalaysiaGazette pada Isnin.

Portal berita tersebut sebelum ini melaporkan Awang dan Idris dilihat 'mengasak' seorang wartawan yang menyoal isu penutupan kedai nombor ekor di Kedah.

Idris menyoal sama ada wartawan portal berita itu boleh menerima jika suaminya 'kaki judi' manakala Awang menyoal supaya bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu.

Awang menegaskan, beliau bukan membuli tetapi teguran itu bertujuan membina satu masyarakat yang akan meningkatkan taraf bahasa kebangsaan.

”Kita kena bermula dari sini. Kalau pemimpin sendiri tidak bermula, apatah lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, wartawan juga boleh mendidik pemimpin sama ada Melayu atau bukan Melayu supaya mahir menggunakan bahasa Kebangsaan.

Awang dalam masa sama turut menyatakan wartawan portal berita itu beranggapan beliau membulinya sedangkan sebenarnya nada suara digunakan itu adalah biasa.

”Nada suara saya memang begitu. Saya rasa para wartawan tahu, saya dalam Parlimen. Itu saya punya karakter.

“Jika kenal saya lebih dekat, saya seorang yang kelakar. Anda tanyalah rakan-rakan ahli Parlimen, rakan-rakan pejabat. Banyak benda kelakar daripada benda serius. Kalau orang kenal saya. Tapi bila saya kerja, saya memang fokus kerja saya,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Nadzir Helmi pula menjelaskan soalan yang dijawab dengan soalan oleh Idris adalah sopan iaitu judi bukan amalan dan budaya mana-mana agama.

Beliau dalam masa yang sama meminta supaya perkara itu tidak diprovokasi untuk kepentingan politik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!