Isu air Kelantan, dakwaan Pulau Pinang milik Kedah jadi tumpuan PAU

Ahmad Maslan. - Foto Bernama.
Ahmad Maslan. - Foto Bernama.
A
A
A

PONTIAN - Isu utama membabitkan negeri yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dijangka menjadi tumpuan ucapan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada minggu depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara isu tersebut ialah masalah air di Kelantan dan dakwaan Pulau Pinang milik negeri Kedah.

Jelasnya, isu negeri yang dibawa dalam ucapan perwakilan ini akan memberi idea kepada ahli UMNO untuk menambah input ketika berkempen pada PRN kelak.

"Wakil daripada Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh membangkitkan isu yang dihadapi di negeri mereka.

"Sebagai contoh Kelantan, isu air yang tak sudah. Di Kedah pula, dakwaan mereka ingin mengambil Pulau Pinang. Dua contoh ini boleh dibawa oleh perwakilan dan memperincikan isu-isu lain yang membelenggu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis kenduri sekampung di Kampung Permatang Duku, Benut, di sini pada Sabtu malam.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Sementara di Kelantan isu air masih membelenggu negeri tersebut dengan kerajaan negeri baru-baru ini mengemukakan permohonan sebanyak RM8 billion daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap PAU kali ini dapat digunakan sayap-sayap parti UMNO untuk merangka strategi bagi menarik pengundi muda atau baru bagi menghadapi PRN tersebut.

"PAU kali ini perlu dijadikan medan pembuka gelanggang kepada PRN. PAU yang diadakan lebih awal daripada PRN itu akan memberikan lebih banyak ruang kepada UMNO untuk bersedia bagi menghadapi PRN yang dijangka berlangsung sengit kali ini.

“Sebagai salah satu, parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan, UMNO perlu membantu memenangi calon-calon yang bertanding kelak bagi memperkukuhkan lagi kerajaan gabungan 19 parti itu,” ujarnya.