Pas gagal batal saman Mujahid berhubung dakwaan sokong LGBT

Mujahid
Mujahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Pas untuk membatalkan saman fitnah oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof terhadap parti itu berhubung dakwaan Naib Presiden Amanah berkenaan menyokong budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Peguam Noorazmir Zakaria mewakili Mujahid berkata, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang membuat keputusan itu pada Rabu memerintahkan parti berkenaan membayar kos RM3,000 kepada Mujahid.

"Mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman itu pada 24 hingga 26 November 2025,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Peguam Mohd Faizi Che Abu, mewakili Pas pula berkata, mahkamah menolak permohonan parti itu selepas berpendirian terdapat isu yang perlu dibicarakan dalam kes saman tersebut antaranya sama ada akaun Facebook itu milik Pas atau tidak.

Pada 15 Februari lepas, Pas yang diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan memfailkan permohonan membatalkan saman atas alasan Mujahid selaku plaintif gagal mendedahkan apa-apa kausa tindakan yang munasabah terhadap parti berkenaan.

Mujahid memfailkan saman itu pada 15 Disember 2022, mendakwa pada 16 Oktober tahun sama, Pas selaku defendan dengan niat jahat telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnahnya dengan membuat atau menerbitkan kenyataan fitnah di ruangan status akaun Facebook parti itu.

Sehubungan itu, beliau memohon suatu perintah supaya Pas menarik balik serta memadam kenyataan fitnah dan gambar plaintif itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman selain memohon ganti rugi am, teladan dan teruk.

Menerusi pernyataan pembelaan, Pas mendakwa pernyataan tuntutan plaintif adalah cacat dan tidak sah kerana plaintif gagal menamakan pelaku kesalahan yang mempunyai kawalan serta melakukan penerbitan bagi artikel berkenaan. - Bernama