Pusat rawatan Ebola di Congo diserang lagi

Anggota keselamatan Congo berkawal di pusat rawatan Ebola di Butmebi yang diserang semalam. - Foto AFP
Anggota keselamatan Congo berkawal di pusat rawatan Ebola di Butmebi yang diserang semalam. - Foto AFP
A
A
A

KINSHASA - CONGO. Serangan kali kedua penyerang bersenjata di sebuah pusat rawatan Ebola di Congo semalam, mengorbankan seorang anggota polis dan mencederakan seorang pekerja kesihatan, lapor pihak berkuasa.

Kejadian di Butembo itu berlaku kurang seminggu selepas pusat rawatan itu dibuka semula susulan serangan pertama bulan lalu yang menyebabkan pasukan Doktor Tanpa Sempadan terpaksa menggantung operasi akibat risiko keselamatan terhadap pekerja keselamatan.

Datuk Bandar Butembo Sylvain Kanyamanda berkata, serangan awal pagi semalam yang dipercayai dilakukan pemberontak ddddddd Mai Mai berjaya ditangani pasukan keselamatan yang mendapat maklumat awal bahawa pusat terbabit bakal diserang, ia sekali gus mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa.

Insiden serangan berlaku beberapa jam sebelum lawatan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus dan Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit ke pusat Ebola itu.

"Kehilangan nyawa anggota polis dan kecederaan dialami pekerja fasiliti terbabit amat menyedihkan," kata Ghebreyesus sambil menambah WHO telah meminta dan menerima lebih sokongan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pasukan polis tempatan untuk mengawal pusat rawatan terbabit.

Menurut Kementerian Kesihatan, serangan di Butembo dan Katwa menjejaskan usaha mengekang wabak Ebola yang mencatat lebih 86 peratus kes baharu dalam tempoh tiga minggu.

Sementara itu, sejumlah 854 kes Ebola telah disahkan sejak pengumuman penularan dibuat pada 1 Ogos lalu, ia termasuk 578 kematian. - AP

Artikel Berkaitan: