Sabah benar urusan nikah, cerai, rujuk di kaunter

Mohd Arifin (tengah) bersama Saifulzaman (dua dari kiri) dan Mohamad Sidik (dua dari kanan) menunjukkan plakad SOP terkini urusan di bawah kendalian JHEAINS selepas Sabah memasuki Fasa Empat PPN.
Mohd Arifin (tengah) bersama Saifulzaman (dua dari kiri) dan Mohamad Sidik (dua dari kanan) menunjukkan plakad SOP terkini urusan di bawah kendalian JHEAINS selepas Sabah memasuki Fasa Empat PPN.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sudah membenarkan semula operasi kaunter perkhidmatan bagi urusan nikah, cerai dan rujuk (NCR) di seluruh daerah di negeri ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, prosedur operasi standard (SOP) terbaru itu selaras dengan pengumuman kerajaan bahawa Sabah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) 8 November lalu.

Menurut beliau, kaunter perkhidmatan NCR dibuka serta-merta kepada pelanggan setiap hari iaitu Isnin hingga Jumaat mengikut masa yang ditetapkan.

"Kaunter dibuka bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang bagi Isnin hingga Khamis manakala pada Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi di mana kehadiran pelanggan tertakluk dengan syarat yang ditetapkan kerajaan iaitu lengkap vaksin Covid-19, memakai pelitup muka dan sentiasa memastikan penjarakan fizikal.

"Waktu operasi kaunter perkhidmatan NCR hanya dibuka tiga hari seminggu kepada orang ramai," katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang akhbar di Masjid Negeri, Sembulan, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah JHEAINS, Datuk Saifulzaman @ Setibin Sangul dan Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JHEAINS merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Sabah.

Mohd Arifin memaklumkan, upacara akad nikah juga dibenarkan di pejabat JHEAINS, masjid, surau dan premis lain dengan kebenaran bersyarat iaitu perlu lengkap divaksin dengan kapasiti 50 peratus daripada saiz ruang premis, penjarakan fizikal dan mematuhi protokol kesihatan umum.

"Bagi upacara akad nikah di masjid atau surau, hanya boleh dilakukan di bilik atau dewan khas sahaja dan ruang solat adalah tidak dibenarkan selain majlis turut perlu mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan masjid atau surau.

Artikel Berkaitan:

"Pihak JHEAINS turut menyediakan perkhidmatan upacara akad nikah di pejabat dengan syarat kehadiran terhad kepada lapan orang termasuk pasangan pengantin, wali, dua saksi dan jurunikah," katanya.

Tambah beliau lagi, bagi individu atau pasangan yang belum memiliki sijil Kursus Pra Perkahwinan Islam turut boleh memohon menyertai kursus secara bersemuka di pejabat JHEAINS berhampiran dengan had jumlah peserta tidak lebih 50 peratus dari keluasan ruang kursus.