Taman tema air tidak langgar SOP PPN
SUBANG JAYA - Polis menasihatkan pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon menetapkan 1,000 orang dan ke bawah di taman air berombak taman tema air berkenaan dalam satu-satu masa.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata siasatan pihak polis mendapati taman air borambak di taman tema berkenaan boleh memuatkan seramai 10,000 orang dalam satu satu masa tetapi mengikut SOP MKN Fasa 4 PPN hanya 5,000 orang dalam satu-satu masa.
"Menerusi video tular pada 6 November lalu terdapat seramai lebih kurang 1,900 orang di dalam taman tema air (water park) berombak tersebut dan masih di bawah jumlah yang dibenarkan mengikut SOP.
"Hasil perbincangan dengan pihak pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon dan dinasihatkan hanya menetapkan 1,000 orang dan ke bawah boleh berada di dalam taman air berombak dalam satu-satu masa," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, pihak Pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon telah bersetuju dengan cadangan tersebut.
"Pihak mereka turut memaklumkan akan mengambil langkah-langkah yang bersesuai bagi memastikan ianya dilaksanakan.
"Pihak pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon juga akan sentiasa memastikan supaya semua pengunjung sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Pada Rabu, polis menyiasat video tular yang memaparkan keadaan sesak pengunjung di Taman Tema Sunway Lagoon di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd. Fairus Jaafar berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook @Rizal Hakimm Punyer berdurasi 13 saat berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di taman tema tersebut.
“Hasil siasatan awal, Taman Tema Sunway Lagoon boleh memuatkan seramai 40,000 orang dalam satu-satu masa manakala kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 adalah seramai 20,000 orang dalam satu-satu masa,” katanya menerusi satu kenyataan sebelum ini.
Tambah beliau, pada tarikh kejadian berlaku iaitu 6 November lalu, terdapat seramai 3,513 orang pengunjung yang direkodkan berada di dalam kawasan taman tema tersebut.
“Pihak kami akan menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya wujud pelanggaran SOP PPN Fasa 4,” katanya.