Pengukuhan Khazanah penting untuk negara

A
A
A

SESIAPA saja yang mengikuti dan faham sedikit sebanyak mengenai ekonomi serta kaitannya dengan politik akan mendapati pengumuman kerugian Khazanah Nasional Berhad bagi tahun 2018 tidak memeranjatkan.

Khazanah pada 5 Mac lalu telah mengumumkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.27 bilion. Inilah kerugian pertama dalam masa 10 tahun.

Dalam kenyataan Khazanah, kerugian itu berpunca daripada kemerosotan besar nilai aset, kejatuhan kadar dividen daripada anak syarikat dan kadar pelupusan pelaburan yang rendah.

Kalau kita lihat daripada sudut politik, kita akan dapati iaitu empat bulan pertama tahun lalu kita berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan selebihnya di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PH hanya melantik pengurusan baharu Khazanah pada 31 Julai. Hatta dalam tempoh yang amat singkat itu pun – lima bulan – mereka telah berjaya melakukan penambahbaikan.

Mereka telah membersihkan buku kira-kira, menilai semula aset mengikut nilai pasaran, melaksanakan rancangan jangka panjang bagi menjadikan perniagaan Khazanah lebih lestari.

Dalam bahasa yang mudah, mereka telah membersihkan buku kira-kira dengan merasionalisasikan beban yang tersembunyi, nilai yang digelembungkan dan perakaunan yang tidak menepati piawaian.

Dengan menilai semula harta dan pelaburan mengikut nilai pasaran dan melaksanakan rancangan jangka panjang adalah diharapkan perniagaan Khazanah akan menjadi lebih lestari dan kembali kepada keuntungan tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Pencapaian Khazanah tahun lalu turut dipengaruhi secara negatif oleh suasana ekonomi dunia yang sukar dan perkembangan dalam negara, khususnya peralihan kerajaan.

Namun begitu, petanda dan aliran mutakhir memberi gambaran bahawa keyakinan pelabur semakin pulih dan ekonomi kita lebih kukuh dan stabil daripada kebanyakan ekonomi baru muncul (emerging market economies).

Misalnya, kalau pada tahun lalu pelabur asing menjual saham-saham Malaysia secara berterusan tetapi dalam dua bulan pertama tahun ini mereka membeli lebih banyak daripada yang mereka jual bagi keseluruhan tahun lalu.

Orang ramai tentu bertanya bagaimanakah pengukuhan Khazanah dan ramalan masa depan yang lebih cerah akan memberi manfaat kepada mereka?

Khazanah ditubuhkan pada tahun 1993 iaitu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri buat pertama (1981-2003).

Matlamatnya ialah membantu memperkukuhkan daya saing ekonomi Malaysia dengan melabur dalam kegiatan strategik dan penerokaan serta memajukan modal insan, kemasyarakatan dan ilmu.

Khusus buat orang Melayu dan Bumiputera lain, hakikatnya ialah tanpa agensi-agensi amanah seperti Khazanah, Permodalan Nasional Berhad dan Mara mereka pasti jauh lebih mundur daripada sekarang.

Sebahagian kejayaan Khazanah ini boleh kita lihat daripada senarai syarikat besar yang sahamnya didagangkan di Bursa Malaysia. Majoriti mereka dimiliki sama ada oleh Khazanah atau PNB.

Oleh sebab itulah kerajaan PH amat mengutamakan pembersihan agensi-agensi amanah dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada unsur rasuah dan ketidakcekapan.

Apabila mereka membuat keuntungan, sebahagiannya diambil oleh kerajaan dalam bentuk cukai dan dividen yang kemudiannya dibelanjakan untuk mengurus dan mentadbir negara.

Majoriti anggota pengurusan dan tenaga kerja agensi-agensi ini adalah Bumiputera. Begitu juga dengan biasiswa dan bantuan pelajaran yang mereka tawarkan.

Hanya pada beberapa tahun kebelakangan ini timbul persoalan mengenai dasar pemberian biasiswa Khazanah yang dikatakan terlalu mengutamakan meritokrasi dan pilih bulu sehingga mengabaikan aspek tanggungjawab sosial.

Malah tercetus cerita sensasi bagaimana anak bekas seorang menteri diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Harvard, Amerika syarikat sedang keluarganya mendapat pinjaman ratusan juta ringgit untuk projek ternakan.

Kesimpulannya, kita amat berharap agar lembaga pengarah dan pengurusan baharu Khazanah memberi perhatian mendalam kepada aspek keadilan sosial sambil berusaha keras memperbaiki prestasi kewangan dan menambah keuntungan.

Wallahuaklam

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara