Southgate puji aksi cemerlang Kane

Kane (kiri), merembat ke pintu gol Albania pada perlawanan berkenaan. - Foto EPA
Kane (kiri), merembat ke pintu gol Albania pada perlawanan berkenaan. - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI England, Gareth Soutgate memuji aksi cemerlang yang dipamerkan kapten England, Harry Kane ketika menewaskan Albania 5-0 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 di Wembley pada Jumaat.

Menurut Southgate aksi cemerlang Kane juga telah membantu pemain berkenaan untuk meledak hattrik pada pertemuan berkenaan yang turut mengesahkan slot The Three Lions ke Piala Dunia.

“Bagi saya, Kane telah beraksi cemerlang pada perlawanan ini dengan memenangi bola dan melorongkannya kepada rakan-rakan sepasukan.

“Kane juga turut membuktikan bahawa dia adalah seorang pemain yang penting dalam pasukan pada ketika ini,” katanya.

Pada perlawanan itu Kane menjaringkan gol pada minit ke-18, (min-33) dan (min-45) manakala dua gol lagi dijaringkan oleh Harry Maguire pada minit kesembilan dan Jordan Henderson (min-28).

Ketiga-tiga gol jaringan Kane turut meningkatkan jumlah jaringannya bersama skuad England kepada 44 jaringan bagi menyamai pencapaian Jimmy Greaves pada kedudukan keempat bagi penjaring terbanyak di belakang Gary Lineker (48), Sir Bobby Charlton (49) dan Wayne Rooney (53).

Selain itu, Kane juga muncul selaku pemain pertama England dalam tempoh 100 tahun kebelakangan ini yang menjaringkan lebih 10 gol ketika beraksi dengan skuad kebangsaaan dalam tempoh setahun.

Sementara itu Southgate berkata, secara keseluruhannya, dia berpuas hati dengan aksi dipersembahkan pemain skuad The Three Lions itu yang dilihat telah beraksi dengan penuh bersemangat sejak wisel permulaan.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, pada separuh masa pertama Albania dilihat seakan tidak berdaya untuk mengekang asakan-asakan yang dilancarkan skuad kendaliannya itu.

“Bagi saya, aksi di separuh masa pertama memang hebat dan sememangnya sukar untuk kita mengekalkan aksi sebegitu.

“Bagaimanapun, kami telah berjaya malam ini dan hanya selangkah untuk mara ke Piala Dunia 2022,” katanya.

Untuk rekod, England hanya memerlukan seri ketika berdepan San Marino pada aksi terakhir Kumpulan I, 16 November ini.