Tembakan rambang: Penganjuran Piala Dunia Wanita FIFA diteruskan

Pegawai polis berdiri di tempat kejadian tembakan di pusat bandar Auckland pada Khamis. - Foto AFP
Pegawai polis berdiri di tempat kejadian tembakan di pusat bandar Auckland pada Khamis. - Foto AFP
A
A
A

PERDANA Menteri New Zealand, Chris Hipkins memaklumkan penganjuran Piala Dunia Wanita FIFA tetap akan diteruskan seperti yang dirancang.

Kenyataan tersebut menyusul selepas berlakunya insiden tembakan rambang di pusat bandar Auckland sehingga menyebabkan dua maut dan enam lagi cedera.

Jelasnya, pihak polis telah memaklumkan bahawa tiada ancaman keselamatan negara yang lebih meluas dan insiden tersebut hanya melibatkan tindakan seorang individu.

"Jelas sekali, dengan Piala Dunia FIFA bermula petang ini, perhatian tertumpu di Auckland. Kerajaan telah bercakap dengan penganjur FIFA pagi ini dan kejohanan akan diteruskan seperti yang dirancang.

"Saya ingin mengulangi bahawa tiada ancaman keselamatan negara yang lebih meluas. Ini nampaknya tindakan seorang individu.

"Auckland, rakyat Auckland dan mereka yang menonton di seluruh dunia boleh yakin bahawa polis telah meredakan ancaman itu dan bahawa mereka tidak mencari orang lain berhubung kejadian itu.

"Keselamatan penduduk New Zealand dan keselamatan pelawat kami adalah keutamaan kami," katanya dalam satu sidang media pada Khamis.

Sementara itu, Menteri Sukan dan Rekreasi New Zealand, Grant Robertson memamklumkan, atlet dan pengunjung yang berada di kawasan kejadian juga dalam keadaan selamat.

"Terdapat beberapa pasukan, seperti yang anda sedia maklum, yang tinggal di kawasan berhampiran. Mereka semua dalam keadaan selamat.

"Mereka akan menjalankan perniagaan seperti biasa hari ini dan bagi sesetengah daripada mereka, yang terlibat dalam perlawanan petang ini ia akan berjalan seperti yang dirancang. Bagi yang lain, ini melibatkan perpindahan ke lokasi lain di New Zealand untuk jadual perlawanan mereka.

"Jadi dalam tempoh beberapa jam akan datang, mereka akan melakukan apa yang selalu dilakukan, pergi ke latihan, pergi perlawanan dan sebagainya," katanya.

Terdahulu, polis mengesahkan suspek yang melepaskan tembakan antara yang maut dalam kejadian.

Insiden berkenaan berlaku di sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di Lower Queen Street dan seorang pegawai polis antara yang cedera. - Awani