Manifesto PH hanya sekadar janji manis: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) didakwa hanya mengeluarkan janji-janji manis sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, terdapat banyak perkara yang sangat mengelirukan dalam janji mereka, malah semua janji itu tidak ubah seperti ulangan, sewaktu negara berada di bawah pemerintahan PH selama 22 bulan.

“Mahu menggubal enakmen anti-lompat parti bagi menjamin kestabilan kerajaan, tetapi inilah parti yang mengiktiraf `katak berprinsip Mahu mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang setaraf Exco, tetapi inilah parti politik yang memperkecilkan peranan Ketua Pembangkang semasa menjadi kerajaan.

“Mahu memberi hak peruntukan tahunan setara kepada setiap ADUN tanpa mengira parti, tetapi merekalah yang menafikan hak itu semasa berkuasa sebagai Kerajaan Persekutuan.Mahu mewujudkan peluang pekerjaan baharu di PBT dan GLC, tetapi inilah parti yang pernah kata saiz perkhidmatan awam negara terlalu besar dan patut dikurangkan,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebook beliau.

Katanya, ia berbeza dengan manifesto yang telah BN bentangkan untuk PRN Melaka dan pengundi akan mengetahui dokumen janji itu adalah sesuatu yang jujur, benar, dan berpijak pada bumi yang nyata.

"Bacalah dan nilailah manifesto BN bagi PRN Melaka maka pasti akan mendapati ia suatu yang jujur, 'real' serta berpijak di bumi yang nyata.

BN buat apa BN janji kepada rakyat terbukti sejak sekian lama," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kekuatan BN ialah mempunyai ‘track record’ pentadbiran yang cekap.

Artikel Berkaitan:

Namun, kata beliau lagi, pada pilihan raya umum yang lepas, BN telah dikaburi dengan fitnah dan permainan persepsi mereka yang sangat rakuskan kuasa.

“Sehingga telah memperdayakan rakyat dan InsyaAllah rakyat tidak terpedaya lagi. Orang Melaka akan buktikan. Awas janji palsu sedang berkeliaran,” katanya.