Pas cabar Ahmad Zahid berundur jika kalah PRN

Kenyataan Ir Khairil Nizam Khirudin di Facebooknya. Khairil Nizam (kiri).
Kenyataan Ir Khairil Nizam Khirudin di Facebooknya. Khairil Nizam (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mencabar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan secara terhormat sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Penerangannya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya yakin bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dihukum rakyat pada pilihan raya tersebut.

Beliau mendakwa ini berikutan kemelut dalaman PH-BN selain kelemahan pentadbiran Anwar dilihat terlalu ketara.

"Pas memandang serius cabaran Ahmad Zahid agar Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menggunakan PRN sebagai kayu ukur sokongan rakyat.

"Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah membuktikan BN-UMNO merekodkan keputusan terburuk dalam sejarah kerana hanya tinggal 30 kerusi Parlimen sahaja.

"UMNO hanya tinggal 28 kerusi dan ini adalah pencapaian terburuk Presiden UMNO setakat ini," katanya di Facebook.

Pada Isnin, Ahmad Zahid Hamidi mengajak Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan PRN sebagai platform untuk menentukan tahap sokongan rakyat.

Ahmad Zahid juga mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Pagoh itu yakin gabungan PN mampu meraih sokongan 70 peratus undi terutama pengundi Melayu di enam negeri yang bakal mengundi pada PRN.

Mengulas lanjut, Khairil menjelaskan dengan pelbagai isu yang menyakitkan rakyat melingkari kerajaan PH-BN selain tunduknya UMNO kepada DAP sudah pasti menyebabkan ahli UMNO akan mengalih sokongan kepada PN.

"Peralihan sokongan ini juga ditambah dengan perbalahan pembahagian kerusi antara UMNO dan DAP di beberapa negeri sehingga ramai ahli UMNO kini bertekad menentang UMNO secara terbuka," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!