Lembah Tenusu LMS jadi hab pengeluaran susu terbesar di Perak

Ronald (kiri) melawat makmal penyelidikan ketika mengadakan lawatan kerja ke Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh pada Khamis.
Ronald (kiri) melawat makmal penyelidikan ketika mengadakan lawatan kerja ke Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh pada Khamis.
A
A
A

TAIPING - Lembah Tenusu Larut, Matang dan Selama (LMS) yang sedang dibangunkan seluas 480 hektar di Pondok Tanjung, di sini bakal menjadi hab pengeluaran susu terbesar di Perak.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, projek pembangunan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM25 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2023.

Menurutnya, sebaik Lembah Tenusu LMS berkenaan beroperasi sepenuhnya, ia dijangka berupaya mengeluarkan sehingga 13 juta liter susu segar yang menyumbang antara 19 hingga 20 peratus pengeluaran susu segar negara menjelang tahun 2025.

"Pembangunan Lembah Tenusu LMS di Pondok Tanjung ini juga akan membuka dimensi baharu di Taiping yang selama ini terkenal dengan nilai sejarah dan pelancongan.

"Ia sekaligus dapat merancakkan ekonomi penduduk setempat dengan 300 peluang pekerjaan baharu tersedia di ladang ternakan tenusu dan kilang pemprosesan susu. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian dan Pecah Tanah, Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR) Pondok Tanjung di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria; Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Ronald berkata, menerusi projek ini, sembilan unit kandang tenusu moden dan kawasan tanaman rumput seluas 160 hektar turut dibangunkan dan TKPR Pondok Tanjung merupakan antara komponen utama.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pembangunan Lembah Tenusu LMS itu turut melibatkan sembilan penternak tenusu dari Perak yang menjadi vendor kepada ladang tenusu komersil dibangunkan oleh sebuah syarikat penternakan lembu tenusu terbesar negara.

"Pembangunan Lembah Tenusu LMS adalah sebahagian daripada Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara yang digariskan oleh DVS, selaras dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) ke arah meningkatkan pengeluaran susu segar kepada Tahap Sara Diri (SSL) 100 peratus pada tahun 2025 bagi mengurangkan kebergantungan import.

"SSL susu segar dalam negara pada masa kini adalah sebanyak 62.4 peratus dengan nilai di ladang RM108.23 juta," katanya.

Beliau berkata, untuk rekod, penggunaan susu segar di Malaysia bagi tahun 2020 berjumlah 69.4 juta liter dan daripada jumlah tersebut, 43.3 juta liter dihasilkan dalam negara, sementara bakinya 26.1 juta liter diimport daripada negara-negara luar seperti Australia, New Zealand dan lain-lain negara.

Sementara itu, dalam majlis sama, Ronald turut menyampaikan sebanyak 200 bakul makanan kepada penternak yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dari sembilan daerah di Perak, manakala Geran Pertanian Organik (Penternakan) bernilai RM400,000 pula diagihkan kepada lapan komuniti penternak organik yang melibatkan 32 orang peserta.

Setiap komuniti tersebut akan menerima menerima RM50,000 untuk Projek Ayam Piru Organik, Projek Arnab Organik dan Projek Ayam Kampung Organik.

Ronald sebelum itu melawat Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh yang merupakan sebuah institusi penyelidikan di bawah DVS berfungsi menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit haiwan serta menjalankan diagnostik penyakit zoonotik haiwan.

VRI juga menjalankan penyelidikan berkaitan penyakit zoonotik haiwan menerusi jaringan kerjasama penyelidikan bersama Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam membangunkan nyahaktif vaksin Covid-19 tempatan.

Menerusi peruntukan RMK12, VRI akan terus menjalankan penyelidikan dalam membangunkan teknologi-teknologi diagnostik sejajar dengan perkembangan teknologi terkini mengikut piawaian antarabangsa.