PTG Perak tambah baik pengurusan - Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak telah melakukan pelbagai penambahbaikan bagi memperbaiki sebarang kelemahan pengurusan di jabatan itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu termasuk penggunaan laman e-Tanah Perak dan sebagainya dalam usaha mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan terutama isu berkaitan Tanah Rizab Melayu (TRM).

Menurut beliau, pendakwaan terhadap bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak, minggu lalu bagaimanapun merupakan kes lama yang berlaku 12 tahun lalu.

"Kes itu berlaku pada tahun 2012 dan selepas itu kita ada e-Tanah sebagainya. Sudah banyak pembaharuan dan penambahbaikan dari segi pengurusan PTG telah dilaksanakan sehingga kini," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 warga Bangunan Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet, di sini pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai saranan yang disuarakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Hamidah Osman untuk menambah baik sebarang kelemahan pengurusan di PTG.

Menurut Hamidah, pendakwaan yang dikenakan ke atas bekas Timbalan Pendaftar Hakmilik PTG Perak itu membuktikan bahawa terdapat kelemahan di dalam jabatan tersebut sehinggakan kesalahan sebegitu besar tidak disedari oleh pegawai tertinggi.

Minggu lalu, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas tuduhan menipu status Tanah Rizab Melayu seluas 649.2 hektar di Mukim Sitiawan, Manjung, 12 tahun lalu.

Mengulas lanjut Saarani berkata, kerajaan negeri menyokong ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membuat penyiasatan.

Artikel Berkaitan:

"Radar SPRM bukan sahaja tertumpu kepada PTG sahaja tetapi ia berterusan berikutan perdana menteri inginkan penguatkuasaan dapat disempurnakan dengan baik bagi mengelak berlakunya rasuah dan sebagainya.

"Kita di peringkat kerajaan negeri tiada masalah. Apabila ada aduan SPRM hendak masuk buat penyiasatan itu atas kebijaksanaan mereka, kita tidak campur tangan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!