Enam kedai kena potong bekalan elektrik

Osman (tengah) bersama wakil TNB melakukan pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis di Kamunting pada Khamis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
Osman (tengah) bersama wakil TNB melakukan pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis di Kamunting pada Khamis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
A
A
A

TAIPING - Sebanyak enam premis perniagaan termasuk kedai runcit yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik melalui Op Dadu di sini pada Khamis.

Tindakan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam operasi bermula jam 9.30 pagi di sekitar Taiping, Kamunting, Aulong dan Kuala Sepetang.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pemotongan bekalan elektrik itu dilakukan selepas menerima aduan penyalahgunaan premis untuk menjalankan kegiatan haram itu.

"Pemilik premis turut berdepan tindakan pembatalan lesen perniagaan.

"Kita akan memohon kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk membatalkan lesen perniagaan kerana disyaki menjalankan aktiviti judi haram," katanya kepada pemberita dalam Op Dadu di Medan Saujana Kamunting di sini.

Beliau berkata, sehingga kini polis mengemukakan 30 permohonan pemotongan bekalan elektrik dan 19 premis antaranya kedai alat tulis dan kedai ubat di daerah ini telah dikenakan tindakan tersebut.

Tambah beliau, pemotongan elektrik dilakukan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Pindaan 2001).

Katanya, sebanyak 210 serbuan dilakukan kerana menjalankan perjudian terbuka melibatkan 249 tangkapan.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi yang dikesan apabila sindiket ini membayar sewa tinggi kepada pemilik bagi menjalankan aktiviti perjudian tersebut.

"Bagaimanapun, pemilik premis boleh melakukan penyambungan semula bekalan elektrik dengan memohon kepada polis untuk diteliti bagi mengelakkan kegiatan sama berulang," katanya.