PRN Melaka: Penyertaan calon wanita meningkat

Zuraida Kamarudin
Zuraida Kamarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan calon wanita dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meningkat daripada lima kepada 15 orang sejak Pilihan Raya Umum pada 2018.

Pengasas Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel), Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun bilangan calon wanita meningkat, namun hanya 13.5 peratus daripada jumlah calon dan masih jauh daripada sasaran 30 peratus untuk memperkasakan wanita dalam politik.

“15 wanita daripada pelbagai parti ini akan bertanding 12 kerusi berbeza daripada 28 kerusi di Melaka.

“Untuk mencapai 30 peratus penyertaan wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sekurang-kurangnya lapan wanita mesti menang di kawasan yang ditandingi mereka,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Tambah Zuraida, wanita telah diletakkan di kerusi sukar yang sebelum itu disandang oleh penyandang lelaki yang memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya lepas seperti DUN Kesidang dan Kota Laksamana kecuali Bandar Hilir dengan seorang wanita diletakkan oleh DAP, sebuah kerusi sebelum ini dimenangi calon lelaki DAP dan Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti 11,313 undi.

“Comwel berharap bahawa pada masa hadapan, calon wanita akan diberi kerusi boleh menang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan mempunyai bilangan calon wanita tertinggi dengan 40 peratus.

“Barisan Nasional (BN) dan PH) menyumbang 27 peratus setiap satu dan lain-lain, enam peratus.

Artikel Berkaitan:

“Daripada setiap parti, Bersatu dan UMNO masing-masing mengemukakan tiga calon wanita atau 20 peratus daripada jumlah calon wanita.

“Adalah malang bahawa PKR memilih menggantikan salah seorang calon wanita mereka dengan calon lelaki, bukan menambah bilangan calon wanita,” katanya.

Kata Zuraida, presiden parti politik harus berhati-hati untuk meletakkan lebih ramai calon wanita bagi mencerminkan wanita sebagai sebahagian daripada aset dalam membina negara pada masa hadapan.

Kajian oleh ‘Harvard Business Review’ (HBR, 2019) menunjukkan bahawa wanita mendapat markah ketara secara statistik, tahap lebih tinggi daripada lelaki dalam sebahagian besar kecekapan kepimpinan.

“Ini menunjukkan pentingnya mewujudkan peluang kepimpinan wanita oleh parti politik,” katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my