PRN Selangor: Anak Noh Omar, Ustaz Zamri Mantop antara calon PN

Zulkafperi (kanan) bersama-sama Nurul Syaz­wani (dua dari kanan) dan Mohd Zamri (tiga dari kanan) pada Majlis Rumah Terbuka PN Tanjong Karang di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang pada Sabtu.
Zulkafperi (kanan) bersama-sama Nurul Syaz­wani (dua dari kanan) dan Mohd Zamri (tiga dari kanan) pada Majlis Rumah Terbuka PN Tanjong Karang di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang pada Sabtu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Anak bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani dan Mohd Zamri Mohd Zainuldin antara dua nama calon yang dicadangkan Perikatan Nasional (PN) Tanjong Karang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Pengerusi PN Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, Nurul Syazwani bakal dipertaruhkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang manakala Mohd Zamri selaku Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong Karang di DUN Sungai Burong.

Menurutnya, dua calon itu antara enam nama masing-masing tiga di setiap DUN yang dihantar kepada PN Selangor untuk dibawa dan diputuskan di peringkat pusat.

"Perbincangan di peringkat pusat belum muktamad dan mereka akan meletakkan calon yang sesuai dan boleh menang pada PRN Selangor," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Rumah Terbuka PN Tanjong Karang di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjong Karang pada Sabtu.

Zulkafperi berkata, dua nama yang dicadangkan itu dijangka mampu memberi kemenangan di dua kerusi DUN bawah Parlimen Tanjong Karang.

Jelas beliau, Nurul Syazwani dan Mohd Zamri yang lebih dikenali sebagai 'Ustaz Zamri Mantop' itu dilihat amat popular di Tanjong Karang yang diyakini mampu menawan hati pengundi di kawasan terbabit.

Beliau memberitahu, kerusi DUN Permatang misalnya sekiranya PN meletakkan Nurul Syazwani sudah tentu memberi kelebihan kepada gabungan berkenaan.

"Kerusi DUN Permatang kuota Bersatu dan pencalonan Nurul Syazwani mampu menarik pengundi muda dan UMNO di kawasan ini.

"Kita mengambil kira pelbagai faktor untuk mencalonkan beliau kerana pemilihannya sebagai calon boleh menang.

"Begitu juga dengan ketokohan Ustaz Zamri yang sememangnya popular dan kerusi ini diberi kepada Pas bagi menghadapi PRN Selangor," jelas beliau.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerusi DUN Permatang dimenangi PKR, Rozana Zainal Abdidin manakala kerusi DUN Sungai Burong pula dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Shamsudin Lias.